Rasuah membangsatkan bangsa

Malaysia sebuah negara berbilang bangsa yang memiliki kepelbagaian budaya dari Perlis hingga Johor, menyeberang Sarawak dan Sabah.

Negara ini suatu ketika dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu, namun kemudiannya dinamakan Malaysia sejajar persetujuan Sabah dan Sarawak untuk bergabung menjadi sebuah negara.

Terbentuknya Malaysia, maka bermulalah tugas rasmi yang perlu dipikul setiap rakyatnya. Setiap warganya perlu memastikan kedaulatan dan kemuliaan negara tidak dicabuli sewenang-wenangnya pihak asing.

Jalur Gemilang yang mula berkibar secara rasmi menggantikan bendera Malayan Union pada 31 Ogos 1957 hendaklah dijaga sebaiknya. Jangan sesekali gagal mempertahankannya.

Kita mewarisi apa yang telah ditinggalkan. Anak cucu kita pula akan mewarisi apa yang kita tinggalkan. Oleh itu, menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk bersama membentuk Malaysia dengan sebaiknya supaya generasi akan datang dapat mewarisi kebaikan yang akan kita tinggalkan.

Tugas memakmurkan negara bukan tertumpu kepada orang Melayu sahaja. Begitu juga orang Cina dan India, mereka juga wajib berbakti dan menumpahkan taat setia kepada negara.

Tanggungjawab ini juga harus dipikul suku kaum Iban, Melanau, Dayak, Dusun, Orang Asal dan pelbagai etnik lagi di Malaysia. Seharusnya, untuk menumpahkan taat setia dan bersama berbakti kepada negara, kita harus bergerak sebagai satu bangsa Malaysia yang berani, cekal, tabah dan kuat semangat.

Tidak boleh tertumpu kepada satu kaum sahaja. Jika kita semua bersepakat, negara pasti lebih hebat.

Di tangan kita ini terletaknya arah untuk pewaris bangsa. Tangan kita ini, jika berbuat kebaikan, pasti akan dibalas kebaikan.

Kebaikan yang dilakukan ini untuk memastikan bangsa kita terdiri daripada anak bangsa baik-baik, bagus dan bukan bersifat negatif. Janganlah menyanjung tinggi tabiat buruk seperti rasuah, penipuan, pengkhianatan, penindasan dan salah guna kuasa kerana tabiat ini akan merosakkan anak bangsa kita.

Bersihkan diri kita daripada rasuah. Jangan pernah sesekali menerima, memberi dan mengamalkannya kerana setiap keburukan yang dilakukan akan menjalar dalam diri.

Rasuah membangsatkan bangsa, malah jika sudah terbiasa melakukannya, ia akan sebati dalam diri dan ini akan dicontohi orang lain. Kita mahu melihat kemajuan dan kemakmuran Malaysia tidak diselimuti kekotoran najis rasuah.

Jika suatu hari nanti, pemimpin-pemimpin yang ada sekarang menyerahkan tugas mentadbir negara kepada kita, adakah kita sudah bersedia menerimanya?

Ada yang telah bersedia, namun ada juga yang belum bersedia. Maka, persiapkan diri supaya apabila diserahkan tugas, kita sudah berada dalam keadaan betul-betul bersedia menerimanya.

Jika suatu hari nanti pula kita telah lanjut dimamah usia, itulah saat kita harus melepaskan tugas dan tanggungjawab kepada yang lebih muda.

Dan ketika itu, adakah kita mahu menyerahkan sebuah negara huru-hara, kucar-kacir dan penuh penyelewengan? Sudah pasti tidak.

Semua kaum, agama dan bangsa, tanpa mengira latar belakang keluarga, keturunan serta warna kulit harus memikul tanggungjawab bersama.

Tidak kira siapa, di mana jua, apa jua status pekerjaan, kita semua harus berkongsi tugas sama.

Semua lapisan masyarakat di Malaysia, yang tua atau muda, yang bekerja sebagai guru, askar, doktor, wartawan, peguam, peniaga, polis, pegawai bank, arkitek, petani atau penternak, harus bermuafakat dan bersama memacu Malaysia ke arah lebih baik.

Di tangan kita tergenggam arah bangsa dan kita harus mengemudinya supaya generasi akan datang dapat mewarisi kebaikan yang akan kita tinggalkan.


Syahmi Minhad ialah pembaca FMT.


https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/02/12/rasuah-membangsatkan-bangsa/


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip