Skip to main content

'Setitik peluh perangi rasuah'

Zakaria Jaffar

DATUK SERI Zakaria Jaffar akan bersara wajib esok, 12 Oktober 2015 selepas berkhidmat selama 33 tahun dan 2 bulan. Selepas bercuti sejak 29 Julai 2015, beliau akan diraikan pada Majlis Paluan Berundur, yang menandakan secara rasmi perkhidmatan sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berakhir esok.

Bagaimanapun semangat beliau ketika ceramah terakhir sebelum bersara iaitu pada program Tokoh Bicara di Ibu Pejabat Risda di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, memperlihatkan yang jiwa beliau tetap bersama perjuangan SPRM yang diberi tanggungjawab mewujudkan persekitaran bebas rasuah.

Di Auditorium Sultan Ahmad Shah beliau melontarkan satu poin yang menarik perhatian hadirian yang terdiri daripada warga kerja Risda.

"Saya berharap orang ramai akan (memberi sumbangan)... satu titik peluh bagi menjadikan negara kita bebas rasuah," kata Zakaria.
"Saya minta setitik peluh," katanya.

Mesej beliau ringkas, tetapi maksudnya sangat jelas.

Beliau mengajak rakyat agar sama-sama memikul tanggungjawab memerangi rasuah.

Setiap rakyat perlu melihat rasuah sebagai musuh. Musuhnya bukan SPRM, tetapi rasuah, kata beliau yang menyandang jawatan terakhir sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) sebelum bercuti mulai 29 Julai 2015.

Beliau juga pegawai kanan pertama menyandang jawatan itu, yang diperkenalkan di SPRM pada April 2010 iaitu 16 bulan selepas SPRM dibentuk bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Tanpa sokongan rakyat, usaha memerangi rasuah tidak boleh berjaya dengan berkesan," kata beliau sambil menegaskan, rakyat perlu mengetahui bahawa SPRM hanya agensi yang menguatkuasakan undang-undang berkaitan rasuah, dan mengadakan program dan pendekatan yang berkaitan selaras dengan Akta SPRM 2009.

Katanya, SPRM memerlukan sokongan rakyat, tidak kira kedudukan dan latar belakang," katanya lagi.

Jelas beliau, rakyat perlu membuang sikap bahawa "ini bukan kerja saya. Ini tugas SPRM."

"Jika kita tidak sama-sama bertindak memerangi rasuah, kapal yang kita berada ini akan tenggelam. Bukan orang lain sahaja akan tenggelam, kita akan sama-sama tenggelam," ujar beliau.

Kapal yang tenggelam yang dimaksudkan adalah negara kita.

Tambah beliau, rakyat perlu memainkan peranan bagi menutup lubang rasuah. "Ini tanggungjawab kita bersama," katanya lagi.

"Saya akan terus berjuang bersama SPRM memerangi rasuah. Walaupun saya bersara pada minggu depan (mulai 12 Oktober), saya akan terus membantu SPRM," ujar beliau.

Sejak tahun lalu, SPRM menggerakkan pendekatan Merakyatkan SPRM. Ia dipertingkatkan pada tahun 2015 dengan harapan usaha memerangi rasuah tidak akan mencapai kejayaan yang disasarkan tanpa kerjasama dan pembabitan padu setiap individu.

Dua hari sebelum pertemuan di Ibu Pejabat Risda di Kuala Lumpur, ketika berucap pada majlis penghargaan bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-48 BPR/SPRM di Seremban, beliau dipetik berkata, usaha untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM perlu dipergiatkan.

Ini berdasarkan kajian pada 2009 iaitu tahun pertama SPRM diwujudkan yang mendapati keyakinan masyarakat terhadap suruhanjaya itu hanya mencapai 39 peratus. Bagaimanapun berikutan pelbagai usaha yang dilaksanakan, pada tahun lepas, keyakinan masyarakat terhadap SPRM meningkat kepada 68 peratus, namun ia masih belum mencukupi.

"Oleh itu, kita kena berfikir bersungguh-sungguh bagaimana kita hendak meningkatkan keyakinan masyarakat. Kita mempunyai peranan yang cukup besar dalam mencegah rasuah," kata beliau dipetik Bernama.

Zakaria, yang akan bersara daripada perkhidmatan pada usia 58 tahun menambah, walaupun bersara, perjuangan memerangi rasuah akan diteruskannya.

Dalam pertemuan lebih dua jam bersama warga kerja Risda, Zakaria juga berkongsi pengalaman menjadikan integriti sebagai budaya kehidupan rakyat negara ini. Katanya, tidak ada maksud "bersara dalam hidup kita."

"Berilah kepercayaan kepada SPRM untuk menyiasat (sesuatu kes). Kalau tidak, ia tidak akan membantu SPRM," kata beliau yang turut memberitahu bahawa "mahkamah tidak akan menerima 'hearsay'.

" Kita tidak boleh hanya bertindak bersandarkan cakap-cakap. Di sini terletak peranan rakyat di mana rakyat boleh menyalurkan maklumat berkualiti kepada SPRM," katanya.

Dengan menjadi mata dan telinga bagi SPRM, orang ramai boleh mengatakan "tidak" kepada rasuah dengan tidak memberi atau menerima rasuah. Jika prinsip ini menjadi pegangan, kita boleh menyelesaikan sebahagian besar kes rasuah dan pada masa yang sama membantu mengurangkan jenayah rasuah ke tahap cukup tinggi.

Diharap rakyat akan terus memberi sokongan dan kerjasama yang padu bagi memerangi jenayah rasuah habis-habisan.

Jenayah rasuah tidak boleh diperangi oleh SPRM ataupun kerajaan sahaja. Sebaliknya, ia memerlukan sokongan semua pihak dan yang penting sekali penglibatan rakyat jelata.

SPRM memerlukan sokongan dan kerjasama masyarakat untuk memerangi kegiatan rasuah di negara ini.

Walaupun tahap kerjasama itu memberangsangkan sejak kebelakangan ini, namun ia boleh dipertingkatkan.

Cabaran yang bakal ditempuhi oleh SPRM pada tahun-tahun mendatang ialah membuktikan kepada masyarakat bahawa transformasi dilalui SPRM akan membawa perubahan besar ke atas keseluruhan sistem operasinya.

Sesungguhnya kejayaan dicatatkan oleh SPRM selama ini telah menjadikan ia sebagai sebuah agensi yang dinamik dan sentiasa bergerak ke arah kecemerlangan.

Anda boleh melakukan perubahan. Perangi rasuah!

* Datuk Rohaizad Yaakob adalah Pengarah Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip