1MDB: SPRM rakam keterangan tiga individu penting seawal minggu depan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya menghubungi tiga individu penting yang dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mereka juga sedia memberi kerjasama.
Sinchew Daily melaporkan, keadaan itu bermakna Pengarah Urusan SRC International (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengarah syarikat itu, Datuk Suboh Md. Yassin serta ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low akan memberi keterangan masing-masing.
Menurut sumber SPRM, masing-masing SPRM dan individu berkenaan pada masa ini sedang menetapkan masa supaya keterangan boleh dirakamkan.
Selepas rakaman keterangan tiga individu itu yang dijangka selesai dalam masa seminggu, keterangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin dirakamkan.
Menurut sumber, kejayaan mendapat kerjasama tiga individu itu merupakan perkembangan yang positif dalam siasatan kes SRC.
"Kami masih berbincang dengan peguam mereka dan meminta tiga orang ini datang ke SPRM untuk tujuan rakaman keterangan dalam masa terdekat.
"Jika tidak wujud sebarang halangan, maka ia dijangka boleh dilakukan dalam seminggu," katanya.
Tiga individu tersebut sebelum ini diminta menyerah diri oleh SPRM.
SPRM juga dilaporkan buntu walaupun berusaha menyiasat kedudukan mereka melalui pelbagai saluran.
http://malaysiagazette.com/ms/akhbar-cina/1mdb-sprm-rakam-keterangan-tiga-individu-penting-seawal-minggu-depan
Comments
Post a Comment