Peguam Negara Disyor Lantik Panel Khas Pertimbang Hasil Siasatan Berhubung SRC International

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Peguam Negara telah disyor supaya melantik panel khas daripada wakil pelbagai badan untuk mempertimbangkan hasil siasatan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Syor itu dikemukakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Zakaria Jaffar yang bersara hari ini.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa Zakaria yang berucap pada Majlis Paluan Berundur sempena persaraannya, percaya cadangan itu penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap kes berprofil tinggi yang sedang disiasat oleh suruhanjaya itu.

"Dicadangkan supaya melantik satu panel yang terdiri daripada seorang dari bekas Peguam Negara, seorang bekas hakim dan seorang wakil dari Majlis Peguam untuk mengkaji hasil siasatan kes itu," katanya.

Beliau yang bersara selepas 33 tahun berkhidmat berkata Peguam Negara mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana pihak yang layak untuk bertindak membuat keputusan sama ada ada kes atau tidak untuk dibawa ke mahkamah.

"Perkara ini pernah dilakukan semasa bekas Peguam Negara disiasat oleh SPRM empat tahun lalu," katanya.

Menurut kenyataan itu, Zakaria turut mengesyorkan agar pasukan petugas khas yang dibentuk melibatkan SPRM, PDRM dan Bank Negara Malaysia sebelum ini diaktifkan semula bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan berkesan.

Beliau juga mencadangkan supaya sebelum syor siasatan kes berkenaan dikemukakan kepada Peguam Negara, SPRM membentangkan penemuan dan hasil siasatan kepada panel bebas yang memantau perjalanan kerja SPRM.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip