Ketua SPRM mahu bertemu pimpinan pasukan petugas khas 1MDB
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengatakan mahu mengadakan pertemuan bersama pimpinan pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyiasat syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kassim yang akan memulakan tugasnya secara rasmi esok selepas bercuti selama 2 bulan berkata akan menyelesaikan beberapa perkara penting sebelum mengadakan pertemuan itu.
"Kita tidak kisah kalau ada pertemuan memang saya hendak berjumpa dengan ketua-ketua jawatankuasa khas," katanya kepada pemberita di Akademi SPRM, di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkenaan pasukan petugas khas baharu.
Bagaimanapun, Kassim berkata kerana belum masih sihat sepenuhnya beliau hanya akan bertugas secara separuh masa.
"Benar, macam main bola lah, (saya) tidak boleh full (sepenuh masa) kena mula half time (separuh masa).
"Esok saya akan mula masuk pejabat tapi tak sepenuhnya," katanya.
Menurut satu kenyataan SPRM, Kassim menjalani pembedahan pada 7 Ogos lalu dan dibenarkan keluar hospital pada 15 Ogos.
Katanya, buat peringkat awal beliau tidak akan bekerja sepenuhnya.
“Saya diminta doktor supaya tidak bekerja sepenuh masa selama sebulan (susulan) selepas melakukan pembedahan tersebut.
“Menurut doktor, sakit ini akan mengambil tempoh selama 3 bulan untuk pemulihan sepenuhnya,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Kassim berkata, cuti sakitnya sepatutnya berakhir pada Jumaat ini tetapi beliau memutuskan untuk kembali lebih awal kerana mahu menyelesaikan perkara-perkara yang penting.
“Ada perkara yang sudah dimulakan, jadi saya perlu selesaikan,” kata beliau sambil menambah, beliau akan menguruskan secara berperingkat-peringkat atas nasihat doktor. – 12 Oktober, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ketua-sprm-mahu-bertemu-dengan-pimpinan-pasukan-petugas-khas#sthash.YNtdxj8c.dpuf
Comments
Post a Comment