Iktiraf syarikat baik dan hukum syarikat sebaliknya!

Baru-baru ini ACE telah dilancarkan oleh SPRM. Anti-Corruption and Ethics (ACE) Centre ialah pusat khidmat nasihat dan rujukan amalan baik berkaitan pencegahan rasuah yang berfungsi di bawah penyeliaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pelancaran ACE juga dilihat sebagai titik tolak dalam mewujudkan persekitaran bebas rasuah di Malaysia dalam jangka panjang. 

Dalam majlis pelancaran itu juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Senator Paul Low Seng Kuan berkata syarikat yang baik iaitu yang menjalankan bisnes dengan bersih serta bebas rasuah perlu diberikan ganjaran, manakala syarikat yg gagal berbuat demikian hendaklah dihukum.

Persoalannya sejauh mana perkara ini boleh dilaksanakan? Syarikat yang terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti merasuah, menggunakan kuasa untuk mendapatkan tender dan bermacam cara kotor perlu disenarai hitamkan.

Jika ada syarikat yang baik dan menggunakan saluran yang betul, maka tidak perlu ada alasan kita memberikan ruang untuk syarikat yang gagal berbuat demikian. Syarikat yang baik menunjukkan lebih usaha untuk mendapatkan projek dengan cara yang betul. Itu antara faktor yang perlu diambil kira sekiranya mereka terpilih menjalankan projek tersebut. Sesungguhnya usaha dan kerja keras bakal menghasilkan kejayaan.

Dalam pada itu, saya terbaca satu artikel di mana hukuman lebuh berat perlu diberikan kepada mereka yang melakukan jenayah rasuah. Namun yang mengejutkan saya, hukuman yang dikatakan adalah hukuman mati! Ya, mati!

Pada pendapat saya, hukuman mati tidak relevan dalam menghukum seseorang yang melakukan kesalahan rasuah. Ya, jenayah itu berat namun jenayah tersebut tidak terlalu serius sehingga mereka perlu dihukum mati. Mereka tidak membunuh sesiapa dan tidak mencederakan sesiapa. Melainkan mereka menyalurkan duit rasuah untuk berbuat demikian.

Ada orang terlibat dengan rasuah mungkin kerana desakan hidup. Mereka memerlukan duit untuk berjuang dalam ekonomi yang menyesakkan kita saban hari. Atau mungkin mereka rambang mata melihat nilai yang mungkin mereka tidak akan dapat sekiranya dikumpul hingga akhir hayat mereka.


Hukuman tetap hukuman. Mereka yang tergolong dengan rasuah tetap perlu diberikan pengajaran bahawa ia tetap kesalahan yang boleh menghancurkan bangsa kita. Pengajaran yang tepat sangat perlu agar mereka boleh membezakan yang mana boleh dan tidak boleh. Semoga kita dijauhkan dengan golongan ini dan berada di jalan yang benar. In sya Allah.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip