Ada VIP terlibat daftar poligami guna sindiket

SHAH ALAM - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapat VIP yang menggunakan khidmat sindiket daftar nikah di Terengganu dan tidak menolak kemungkinan akan membuat lebih banyak tangkapan lagi.

Pengarah Perisikannya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, VIP berkenaan yang bergelar datuk ini telah mendaftarkan pernikahan keduanya menggunakan perkhidmatan haram ini.

"Mungkin kerana takut isteri pertamanya mengetahui dia telah berkahwin, dia gunakan kaedah ini," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan masih dilakukan SPRM.

"SPRM juga sedang menyiasat sejauh mana sindiket ini telah bergerak dan akan membuat tangkapan lagi sekiranya perlu.

"Mustahil mereka bertiga sahaja terlibat dengan perkara ini, SPRM sedang mengkaji rekod dan dokumen berkaitan pendaftaran nikah yang telah dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan sindiket daftar nikah sempadan yang disiarkan Sinar Harian sejak Sabtu lalu.

Sindiket ini mengambil upah sehingga RM3,500 bagi memudahkan proses pendaftaran nikah dengan membelakangkan proses undang-undang.

"Siasatan awal SPRM juga mendapati mereka ini telah mengeluarkan dokumen palsu antaranya surat kebenaran isteri dan tidak melalui proses mahkamah bagi mendaftarkan poligami.

"Setakat ini ketiga-tiga suspek yang ditahan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM," katanya.


http://www.sinarharian.com.my/semasa/ada-vip-terlibat-daftar-poligami-guna-sindiket-1.534544

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip