Nelayan Vietnam dipenjara sogok penguat kuasa APMM
KUCHING
20 Jun- Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuching hari ini dilapor menjatuhi hukuman
sebulan penjara dan denda RM10,000 ke atas seorang nelayan Vietnam yang mengaku
bersalah memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Agensi Penguatkuasa
Maritim Malaysia (APMM) pada Mac lepas.
Ibu
pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan
berkata, Thai Van Thanh, 35, yang dituduh di mahkamah pada 5 Mei lalu mengaku
bersalah pada hari perbicaraan pertama di hadapan Hakim Nixon Kennedy.
Dia
didakwa memberi rasuah RM1,900 kepada Pegawai APMM, Leftenan Muda Shahidan
Hassan sebagai dorongan untuk melepaskan dia yang memasuki dan menangkap ikan
di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia yang merupakan
kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.
Menurut
kenyataan itu, kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 31 Mac kira-kira pukul
6.21 pagi di 165 batu nautika daripada Tanjung Po Utara, Sarawak.
Van
Thanh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) 2009 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda
tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana
lebih tinggi.
Pendakwaan
SPRM dikendalikan Pegawai Pendakwa, Katherine Nais.- BERNAMA
Comments
Post a Comment