KENYATAAN MEDIA SPRM: PEGAWAI IMIGRESEN TERIMA RASUAH DIPENJARA SEMINGGU, DENDA RM6,000
Mohd. Faizal Ariff, 32, dihadapkan ke Mahkamah
Sesyen Shah Alam hari ini atas kesalahan menerima wang suapan sebanyak RM4,000
sebagai dorongan untuk membebaskan tiga orang warga asing yang telah ditahan
oleh pihak Imigresen Negeri Selangor kerana menyalahgunakan permit kerja.
SEORANG pegawai Jabatan Imigresen
Negeri Selangor dijatuhkan hukuman penjara selama seminggu dan denda sebanyak
RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam hari ini atas kesalahan menerima
wang suapan berjumlah RM4,000, tahun lalu.
Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan
hukuman tersebut terhadap Mohd. Faizal Ariff Mohd. Nasir, 32, selepas tertuduh
mengaku bersalah menerima wang suapan tersebut sebagai dorongan untuk
membebaskan tiga orang warga asing yang telah ditahan oleh Imigresen Negeri
Selangor kerana menyalahgunakan permit kerja.
Tertuduh didakwa melakukan
kesalahan itu di Jabatan Imigresen Selangor pada 24 Mac tahun lalu dan dituduh
di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara
sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh akan dikenakan hukuman
penjara seminggu sekiranya gagal membayar denda RM6,000 tersebut.
Pendakwaan bagi pihak SPRM
dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim manakala
tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Pengarah SPRM
Selangor, Dato' Norazlan Mohd. Razali berkata, perbuatan rasuah sedemikian
perlu dibendung bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan permit kerja dalam
kalangan warga asing yang menyumbang kepada masalah lambakan pekerja asing
dalam sektor industri tertentu.
Jelas beliau, sekiranya masalah
tersebut tidak diatasi dengan segera, ia akan membantutkan usaha kerajaan untuk mengawal selia bagi memastikan
pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini bekerja di industri yang
sepatutnya.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
16 JUN 2016
Comments
Post a Comment