Rasuah punca sindiket berleluasa



KUALA LUMPUR 11 Jun – Amalan rasuah termasuklah membocor­kan maklumat operasi dan kutipan bulanan oleh sesetengah anggota agensi penguat kuasa di­dakwa menjadi punca penye­lewengan gas petroleum cecair (LPG) terus berleluasa.

Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berusaha mengatasi masalah ini namun sikap tidak amanah segelintir anggota penguat kuasa menyebabkan sindiket terus menjalankan kegiatan haram mereka tanpa rasa takut.

Berdasarkan maklumat yang diterima oleh Mingguan Malaysia, ada dakwaan segelintir anggota penguat kuasa bersekongkol atau menjadi 'tali barut’ sindiket yang turut terdiri daripada syarikat berlesen.

“Dalam berhadapan isu ini kerajaan tidak ada pilihan selain memastikan agensi penguatkuasa terlibat benar-benar berinte­griti dan tidak bersubahat dengan sindiket,’’ kata satu sumber kepada Mingguan Malaysia.

Pada masa sama, sumber itu juga mendesak KPDNKK supaya lebih telus dan tegas dalam memastikan mana-mana syarikat berlesen yang didapati melakukan penyelewengan itu ditarik lesennya.

“Tetapi setakat ini kita melihat ia seolah-olah tidak berlaku. Sebab itulah dalam serbuan yang dilaksanakan ada syarikat lesen terlibat. Kenapa ia terjadi? Semua itu disebabkan mereka tahu tiada tindakan tegas dikenakan biarpun mereka terbabit menyeleweng bahan bersubsidi,’’ kata sumber itu.

Selain itu sumber tersebut juga mencadangkan supaya kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang membolehkan mana-mana premis atau bangunan yang digunakan bagi menjalankan kegiatan haram itu disita atau dirampas.

“Sudah tiba masanya kerajaan melalui KPDNKK benar-benar serius menangani masalah penyelewengan bahan bersubsidi ini kerana ia melibatkan kerugian yang cukup besar kepada kewangan kerajaan,’’ kata sumber itu lagi.

Tegas sumber tersebut, jika kegiatan penyelewengan bahan bersubsidi itu berterusan ia akhirnya akan mengakibatkan pengguna menanggung kesannya apabila barangan itu berkurangan di pasaran.

Jika itu berlaku sudah pasti kerajaan akan disalahkan dan segalanya berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan dan sikap tidak berintegriti segelintir anggota agensi penguat kuasa,’’ katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rasuah-punca-sindiket-berleluasa-1.341327#sthash.8ehRRzAR.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip