Daftar nikah: Tiga pegawai kerajaan ditahan reman
KUALA TERENGGANU - Tiga kakitangan awam termasuk pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ditahan kerana dipercayai ahli sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah tidak sah kepada pasangan suami isteri di negeri ini, semalam.
Sindiket yang menawarkan proses membuat kad dan sijil nikah kepada pasangan tanpa perlu menghadirkan diri ke mahkamah serta tidak perlu membayar denda kerana bernikah di luar negara ini berjaya dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu dalam operasi khas di sekitar bandar raya ini, semalam.
Ketiga-tiga lelaki masing-masing berusia antara 30 hingga 43 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan bermula kira-kira jam 12.30 tengah hari hingga jam 11.30 malam.
Menurut sumber, suspek pertama berusia 43 tahun dan juga pegawai JHEAT itu ditahan di sekitar bandar raya ini kira-kira jam 12.30 tengah hari diikuti suspek kedua berusia 30 tahun dan suspek ketiga 34 tahun, masing-masing ditahan jam 5.30 petang dan 11.30 malam, di bandar raya ini.
Jelasnya, tangkapan pertama dilakukan selepas suspek menerima bayaran akhir sebanyak RM1,000 bagi menyerahkan sijil dan kad akuan nikah kepada pasangan yang mendapatkan khidmatnya.
"Siasatan awal mendapati sindiket yang bergerak aktif sejak dua tahun lalu ini menawarkan bayaran sebanyak RM3,500 bagi setiap individu khususnya suami yang ingin berpoligami bertujuan mendapatkan dokumen pernikahan tidak sah berkenaan.
"Malah, SPRM turut merampas wang bernilai RM1,300 masing-masing daripada suspek kedua dan ketiga dipercayai untuk bayaran tujuan sama.
"Sindiket ini dipercayai menguruskan pernikahan pasangan berkaitan di negara jiran tanpa perlu kebenaran isteri pertama atau melalui proses di mahkamah sekiranya ingin berpoligami," katanya.
Kata sumber lagi, selain pasangan yang ingin berpoligami, sindiket berkenaan turut menjadi pilihan kepada pasangan kekasih yang ingin berkahwin tetapi tidak mendapat restu ibu bapa.
Sementara itu, Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Hishamuddin Hashim mengesahkan penahananan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.
Dalam masa sama, Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat membenarkan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Jun depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
http://www.sinarharian.com.my/semasa/daftar-nikah-tiga-pegawai-kerajaan-ditahan-reman-1.534460
Comments
Post a Comment