Dua bulan pertama selepas bersara

MASA berjalan dengan pantas. Sudah dua bulan saya bersara sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Meskipun bersara secara formal pada 12 Oktober lalu, pergerakan rutin saya masih seperti ketika berkhidmat sebagai pegawai SPRM. Hampir setiap hari ada saja jemputan beri ceramah. Bukan sahaja di Lembah Klang, dekat dengan rumah, malah dari seluruh negara. Kelantan, Perak, Terengganu, dan Pahang.
 
Saya tidak kisah. Sekurang-kurangnya ia beri saya peluang untuk bertemu dengan rakyat. Seperti saya janjikan dalam ucapan di majlis meraikan persaraan saya pada 12 Oktober lalu, saya akan terus membantu SPRM untuk menerangkan kepada rakyat tentang peranan dan fungsi SPRM.
 
Kita perlu membantu SPRM. Seperti mana saya minta orang ramai membantu dan menyokong SPRM dalam menjalankan usaha mencegah rasuah dengan berkesan. Maka, kini giliran saya membantu SPRM.
 
Jadi, saya tidak rasa penat. Dalam darah dan daging saya, seperti kata Ketua Pesurujaya Tan Sri Abu Kassim Mohamed, masih ada nama SPRM.
 
Setiap pegawai SPRM mempunyai peranan untuk mencegah orang ramai daripada terjebak dalam jenayah rasuah. Begitu juga tanggungjawab setiap rakyat. Tidak kira pangkat dan kedudukan.
 
Dengan memberi ceramah di agensi-agensi kerajaan, majlis awam dan juga ketika kuliah agama, saya dapat merumuskan empat perkara penting. Saya mendapati keempat-empat perkara ini memerlukan penjelasan agar orang ramai tahu secara mendalam mengenai SPRM dan undang-undang rasuah.
 
Pertama: Masih ramai yang tidak tahu secara mendalam tentang proses kerja SPRM. Bila kurang maklumat, mereka salah faham dan keliru. 
 
Fungsi SPRM mengikut Seksyen 7 Akta SPRM 2009 ada tujuh, iaitu:
 
(a) Menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang pelakuan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan menyiasat aduan itu sebagaimana yang difikirkan praktik oleh Ketua Pesuruhjaya atau pegawainya; 
 
(b) Mengesan dan menyiasat:
 
(i) Apa-apa kesalahan yang disyaki di bawah Akta SPRM 2009;
(ii) Apa-apa percubaan yang disyaki untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009; dan
(iii) Apa-apa komplot yang disyaki untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009
 
(c) Meneliti amalan, sistem dan tatacara badan-badan awam untuk memudahkan penemuan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan untuk menghasilkan kajian semula amalan, sistem atau tatacara itu yang pada pendapat Ketua Pesuruhjaya mungkin membawa  kepada rasuah;
 
(d) Mengarahkan, menasihati dan membantu mana-mana orang, atas permintaan orang itu, tentang cara-cara bagaimana rasuah dapat dihapuskan oleh orang itu;
 
(e) Menasihati ketua badan-badan awam tentang apa-apa perubahan dalam amalan, sistem atau tatacara yang sesuai dengan penunaian berkesan kewajipan badan-badan awam itu sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Ketua Pesuruhjaya untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah;
 
(f) Mendidik orang ramai untuk menentang rasuah dan
 
(g) Mendapatkan dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah.
 
Saya perlu menekankan di sini bahawa tugas dan fungsi SPRM hanya menjalankan siasatan. Apabila siasatan selesai, kertas siasatan dengan syor yang dibuat oleh SPRM akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya (Peguam Negara) untuk membuat keputusan sama ada kes atau tidak untuk dicaj di mahkamah. Keputusan akhir di tangan Pendakwa Raya.
 
Disebabkan di Malaysia kita mengamalkan sistem pemisahan bidang kuasa, maka pemahaman ini penting bagi memastikan bahawa tidak timbul kekeliruaan sehingga menyebabkan orang ramai mempunyai tafsiran dan persepsi negatif.
 
Kedua: Masih ada pihak yang tidak percaya bahawa SPRM benar-benar bebas. Sebuah suruhanjaya yang bebas berbanding ketika era Badan Pencegah Rasuah (BPR). Bermakna ada perubahan berbanding era sebelum Januari 2009. Satu ukuran mudah bagi menjelaskan aspek SPRM bebas berbanding era BPR kerana SPRM dipantau oleh lima badan bebas, yang diahlian terdiri daripada lebih 40 orang termasuk ahli-ahli Parlimen DAP, PAS dan PKR. Ini saya akan jelaskan dalam siri-siri akan datang.
 
Selain itu, ada juga hadirin ceramah yang menimbulkan persoalan dengan mengatakan bahawa SPRM tidak menyiasat kes-kes berprofil tinggi.
 
SPRM menyiasat setiap kes yang ada elemen rasuah untuk disiasat. Mengikut undang-undang rasuah di Malaysia khususnya Akta SPRM 2009, SPRM sentiasa mengamalkan prinsip menyiasat kes-kes yang ada unsur rasuah. SPRM tidak boleh menyiasat kes-kes yang tiada unsur rasuah. Tidak kira pangkat dan kedudukan. Meskipun pengadu beranggapan sesuatu isu itu ada elemen rasuah, jika di bawah undang-undang tidak ada elemen rasuah, maka kita tidak boleh bertindak. Jika tidak SPRM sendiri bertindak bertentangan dengan Akta SPRM.
 
SPRM tetap akan siasat setiap kes yang ada merit untuk disiasat. Sama ada ketika BPR atau SPRM ketika sekarang, sejumlah menteri, wakil rakyat, bekas menteri besar-menteri besar, bekas ketua menteri dan perdana menteri telah disiasat. Ini tidak termasuk senarai ahli-ahli politik yang disiasat. Tidak kira parti yang memerintah ataupun parti pembangkang. 
 
Apakah ini menunjukkan SPRM tidak pernah menyiasat kes-kes profil tinggi.
 
Bagi SPRM, isunya bukan kes berprofil tinggi, tetapi setiap kes yang disiasat ada kaitan dengan kepentingan rasuah. Setiap perlakuan rasuah ada kesan buruk ke atas orang ramai. Tidak kira nilai rasuah yang terlibat. Maka, tidak adil untuk mengatakan SPRM tidak pernah menyiasat kes-kes berprofil tinggi.
 
Seperti saya sebutkan awal tadi, selepas siasatan siap dan lengkap, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya untuk membuat keputusan sama ada ada merit untuk didakwa ataupun sebaliknya.
 
Ketiga: Ramai beranggapan kerja pegawai penyiasat SPRM ini berhadapan dengan ancaman bahaya. Bahaya ada di mana-mana. Bukan hanya apabila berkhidmat di SPRM. Pegawai-pegawai SPRM tidak takut untuk menunaikan tanggungjawab sebagai penyiasat. Jika masyarakat bersama dengan SPRM, mereka boleh mengatasi apa jua bahaya dan risiko yang bakal muncul. Bahaya bukan sahaja dihadapi oleh pegawai-pegawai SPRM, malah dihadapi oleh anggota agensi penguatkuasaan yang lain. Perkara ini saya selalu tekankan kepada pegawai-pegawai saya semasa yang masih berkhidmat di SPRM.
 
Malah, saya sendiri memaklumkan kepada isteri saya. Kita perlu bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan. Sebab saya ada tanggungjawab kepada negara sebagai seorang pegawai penyiasat pencegahan rasuah. Jika ini menjadi pegangan, kita boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab agensi penguatkuasaan dengan baik.
 
Keempat: Persoalan yang kerap ditanya adalah berkaitan dengan soal perlindungan kepada saksi atau pemberi maklumat. Orang ramai tanya sama ada pemberi maklumat atau saksi benar-benar diberi perlindungan atau sebaliknya. Jaminan saya, sesiapa yang membantu SPRM akan diberi perlindungan sama ada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat ataupun Akta Perlindungan Saksi. SPRM ada keluarkan buku kecil mengenai kedua-dua akta itu.
 
Bagi menggalakkan orang ramai khususnya penjawat awam melaporkan kegiatan rasuah, SPRM menyediakan perlindungan yang sewajarnya di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 kepada pemberi maklumat yang memohon perlindngan. Sejak akta ini dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010, seramai 49 pemberi makluat telah diberi perlindungan.
 
Terdapat beberapa syarat untuk seseorang itu diberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Pertama sekali, perlindungan pemberi maklumat hanya sesuai diberikan kepada seseorang yang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, dan beliau bukan mangsa kejadian atau seseorang yang berpotensi untuk menjadi saksi utama kepada kes yang didedahkannya, melainkan keterangan itu boleh diperolehi daripada saksi-saksi lain.
 
Jadi, tugas SPRM memang mencabar. Selain menjalankan siasatan secara berterusan, SPRM juga perlu meningkatkan usaha bagi menerangkan kepada orang ramai tentang empat perkara yang ditekankan ini.
 
Orang ramai perlu menyokong usaha SPRM dengan memahami skop fungsi, dan juga memberi maklumat berkualiti untuk bertindak.
 
Semoga SPRM berjaya dalam usaha ini.
 
*Datuk Seri Zakaria Jaffar merupakan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisem) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
 
http://malaysiagazette.com/ms/man-ana/dua-bulan-pertama-selepas-bersara

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip