Panel Pemantau SPRM Bantah Syor EAIC
KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) membantah syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah bidang kuasa pemantauannya.
Pengerusi LPPR, Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata langkah meletakkan SPRM di bawah EAIC tidak perlu kerana di bawah undang-undang sedia ada, SPRM sudah pun menjadi agensi penguat kuasa yang bebas.
"Syor EAIC hanya akan mewujudkan satu situasi lebih dikawal selia di Malaysia, yang telah pun dikenali sebagai sebuah daripada negara dikawal selia.
"Meletakkan SPRM di bawah EAIC adalah sia-sia dan hanya akan menambah satu lagi lapisan birokrasi yang akan membawa kepada ketidakcekapan yang lebih buruk," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Aziz berkata apa yang Malaysia perlukan adalah memastikan keberkesanan agensi-agensi di bawahnya dengan tidak membentuk lebih banyak identiti kerajaan, sebaliknya meningkatkan keupayaan dalaman mereka.
LPPR adalah satu daripada badan bebas yang memantau perjalanan SPRM sejak tahun 2009.
LPPR turut berpendapat meletakkan SPRM di bawah EAIC tidak akan menjadikan SPRM lebih berakauntabiliti dalam operasinya, kerana hakikatnya SPRM sudah mempunyai lima panel pemantau bebas yang menyelia operasi SPRM.
-- BERNAMA
Comments
Post a Comment