Keberkesanan SPRM Dalam Mendekati Masyarakat

SPRM telah melakukan pelbagai cara dan inisiatif dalam mendekati rakyat demi melestarikan misi ‘Merakyatkan SPRM’. Ternyata mencegah rasuah bukan kerja atas kerja sahaja namun SPRM juga perlu mendidik dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap SPRM. Namun, sejauh manakah rakyat Malaysia memahami dan sedar mengenai tugas mencegah rasuah?

Temubual di radio atas talian MACC.FM baru-baru ini bersama ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Prof Madya Dr Ismail Sualman mendedahkan data dan kajian menunjukkan 83% orang mula mengetahui tentang kesedaran terhadap SPRM tetapi yang memahami hanya 70% sahaja. Bagaimanapun, tahap kesedaran yang berada di paras 83% adalah tinggi dan ini bermakna apa yang SPRM lakukan dikira berjaya.

Turut dinyatakan, tugas mencegah rasuah merupakan tanggungjawab semua dan tanggungjawab bersama.  SPRM merupakan badan yang dilantik untuk mencegah dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan. Sebagai contoh, wakil rakyat, penghulu dan guru seharusnya memberikan elemen pencegahan rasuah sejak sekolah lagi. Kalau ditempat kerja pula, majikan patut menyelitkan elemen integrity dan jangan melakukan rasuah.

Media juga memainkan peranan dalam usaha mencegah rasuah. Berdasarkan kajian yang dibuat setakat ini, hampir 70% rakyat tahu peranan dan fungsi SPRM. Mereka tahu apa SPRM patut lakukan dan SPRM ada banyak usaha dilakukan seperti website tertentu, kempen, ceramah dan promosi tertentu.

Kajian di media social juga menunjukkan banyak isu yang ditimbulkan mengenai rasuah tetapi malangnya bila diteliti lebih terperinci, kebanyakkan Facebook, Twitter, Instagram- mereka tiada fakta dan hanya menuduh.Ini merupakan aktiviti yang tidak sihat di mana kita tidak boleh bersandarkan persepsi dan tuduhan semata-mata.

SPRM juga menambahkan satu lagi saluran media dalam usaha mendidik masyarakat mengenai rasuah iaitu radio atas talian yang baru dilancarkan pada 9 Disember lalu. Dengan adanya radio ini, ia merupakan inisiatif yang bagus. Daripada radio juga, rakyat dan golongan muda dapat banyak maklumat mengenai SPRM atau apa tindakan yang dilakukan SPRM untuk mencegah rasuah. Ia juga boleh memberi peluang kepada pendengar untuk berinteraksi dengan SPRM supaya SPRM mendapat tahu maklum balas usaha yang dilakukan.

SPRM juga perlu menumpukan perhatian terhadap strategi dalam usaha mendekati belia. Golongan muda zaman kini tidak berminat untuk  mendengar ceramah semata-mata. SPRM boleh membuat usaha yang lain daripada lain contohnya mengadakan kem, sukaneka, permainan yang menyeronokkan. Di samping golongan ini bersuka ria dalam aktiviti yang dianjurkan itu, ada mesej yang boleh disampaikan sepanjang aktiviti dilakukan.

Pihak Institut PengajianTinggi juga boleh mengambil peluang ini untuk mengadakan program memberi peluang kepada pensyarah dan pelajar untuk membentangkan hasil kajian mengenai rasuah. Platform ini juga bolehmemberi faedah dan pada masa yang sama, SPRM dapat manfaat dari hasil kajian yang diperoleh dengan saluran yang betul.

Setelah melakukan usaha-usaha ini, adalah amat penting bagi pihak SPRM memastikan usaha yang dijalankan berkesan dan kekal bersama rakyat. Untuk melihat pencegahan rasuah secara berkesan, kita perlu lihat apa kehendak rakyat. Contohnya, selepas ceramah diadakan,  SPRM boleh memberikan borang kepada pengunjung yang datang dan bertanya sejauh mana mereka faham mengenai perkara yang dibincangkan.

Kalau diikutkan, SPRM sebenarnya sudah pun sampai satu tahap yang membanggakan di mana SPRM sudah pun melaksanakan yang terbaik. Paling utama sekali, usaha mencegah rasuah ini perlu kita sokong dan jangan terlibat dengan rasuah. Paling penting sekali, jangan sesekali memulakan bibit-bibit rasuah walau sekecil kuman dalam kehidupan kita.


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip