SPRM Kedah: Kes rasuah makin meningkat

KES rasuah dan salah guna kuasa di Kedah pada tahun ini meningkat berbanding pada tahun 2014. 

Turut menjadi tumpuan SPRM adalah laporan mengenai dakwaan rasuah yang berlaku melibatkan  penjawat awam  serta penyeludupan barang subsidi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. 

Ikuti kupasan lanjut berhubung kes-kes rasuah di Kedah menerusi wawancara khas Wartawan Sinar Harian, MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI bersama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, DATUK MOHD FAUZI MOHAMAD.

Apa pandangan Datuk terhadap integriti dan rasuah melibatkan masyarakat di Kedah? 
Saya melihat, masyarakat di Kedah ada kawasan yang kurang berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan sebab ada perkara-perkara yang mengatakan pegawai kerajaan tidak melakukan kerja mereka yang sepatutnya. Tetapi dari segi rasuah amat kurang. 

Memang (rasuah) berlaku, tetapi ia di kawasan tertentu seperti di sempadan Malaysia-Thailand. Selain itu, ada juga penerimaan rasuah daripada pegawai penguatkuasa yang terlibat kes dadah, penyeludupan dan melibatkan orang awam. 

Bagaimanapun, isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat seperti alam sekitar akan saya beri perhatian. Sebab isu-isu ini jika boleh ditangani dengan baik, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap SPRM.

Sepanjang tahun 2015, berapakah kes dan siasatan yang dilakukan SPRM Kedah? 
Dari Januari hingga kini, SPRM Kedah berjaya melakukan 61 tangkapan melibatkan orang awam, penjawat awam dan sektor swasta. Jumlah itu merupakan tangkapan agak besar berbanding 2014  sebanyak 22 tangkapan.

Berdasarkan pecahan daripada 61 tangkapan itu, seramai tiga orang di sektor pengurusan dan profesional ditangkap, 32 orang penjawat awam, 21 orang awam serta lima orang dari sektor swasta.

Kes-kes tersebut melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu melibatkan tangkapan terhadap penjawat awam yang menerima rasuah daripada orang awam serta Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang melibatkan tangkapan terhadap orang-orang awam yang memberi rasuah kepada penjawat awam.

Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes rasuah berbanding tahun 2014?
 Sejak mula saya datang ke Kedah, saya banyak mengamalkan pentadbiran secara mesra dan tegas. Pada masa sama, saya cuba dapatkan sokongan dan kerjasama orang ramai dalam mencegah kesalahan rasuah. 

Peningkatan tangkapan itu bukan bermakna Kedah banyak berlaku rasuah. Cuma secara positifnya saya berpendapat, tangkapan itu meningkat sebab orang mula yakin dan buat aduan kepada SPRM terhadap kesalahan itu.

Kalau kita lihat dari jumlah penerimaan maklumat memang menurun, tetapi maklumat yang diterima itulah boleh mendatangkan hasil kepada siasatan SPRM. Disebabkan itu juga, kita telah membuka sebanyak 48 kertas siasatan pada tahun ini.

Bagaimanakah SPRM menerima maklumat berkaitan kesalahan rasuah daripada orang awam? 
Di Kedah, kalau aduan online  itu kurang. Sama ada di kawasan Alor Setar, Sungai Petani mahupun Langkawi. Kebanyakan mereka datang terus ke pejabat selain kita menggunakan kaedah perisikan. 

Contoh paling istimewa adalah apabila kita berjaya menangkap seorang pegawai kanan di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) kerana menerima rasuah habuan seks di awal tahun lalu. 

Tangkapan ini kita menggunakan kaedah perisikan. Ada juga kita berjumpa dengan orang yang sedia beri kerjasama termasuk beberapa mangsa menerusi Ops Janda. 

Tetapi kebanyakan yang datang beri maklumat adalah menggunakan surat layang dan surat rasmi. Itu saluran maklumat yang terbesar kita terima iaitu menggunakan surat. Yang mana melibatkan kes-kes meminta rasuah kebanyakan mereka akan terus lapor ke Pejabat SPRM.

Kes  apa yang mencatatkan jumlah tangkapan paling tinggi? 
Setakat ini, Ops Licin mencatatkan jumlah tangkapan paling tinggi. Kita menangkap pegawai-pegawai penguatkuasa di pelbagai agensi yang terlibat dengan penguatkuasaan di kawasan sempadan. Ia juga termasuk aktiviti penjualan minyak diesel dan petrol ke negara jiran.

Kenapa kes rasuah di kawasan sempadan boleh berlaku? 
Dari segi pemantauan dan maklumat yang saya terima, memang banyak aktiviti di kawasan sempadan. Bukan setakat penyeludupan minyak dan barangan keperluan harian, tidak ketinggalan juga aktiviti pemerdagangan manusia. Ini yang saya terima dengan kerjasama bahagian Perisikan SPRM yang melakukan pemantauan di kawasan sempadan. 

Hasil risikan itu juga telah berjaya menahan orang-orang yang disyaki terlibat dengan rasuah. Daripada kajian Ops Licin itu, memang kita tahu kejadian itu menyebabkan ketirisan hasil kerajaan. 

Subsidi minyak misalnya yang diberikan khas untuk penduduk Malaysia, apabila diseludup masuk ke negara jiran bermakna subsidi kita diberikan kepada orang negara jiran. Itu yang kira rasakan tidak sepatutnya berlaku ketirisan itu. 

Perkara itu berlaku kerana terdapat beberapa pegawai kerajaan dan penguatkuasa yang amalkan rasuah dengan membiarkan perkara itu berlaku. Ada juga maklumat yang kita terima berhubung penyeludupan haiwan eksotik, tetapi tidak banyak. 

Berikutan itu, SPRM telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan NECC iaitu sebuah Agensi Penguatkuasa Pencegahan Rasuah Thailand yang melibatkan negeri-negeri di sempadan Thailand seperti Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan untuk bekerjasama melihat kes-kes rasuah di kawasan sempadan.

Apa faktor  menyebabkan  penjawat awam terlibat rasuah?
Saya melihat faktor yang mempengaruhi berlakunya rasuah di kalangan penjawat awam kebanyakannya tidak melibatkan masalah kewangan, tetapi saya berpandangan ia disebabkan integriti individu itu sendiri. 

Mereka ada duit, tapi ambil rasuah juga kerana faktor sekeliling yang membolehkan ia terlibat dengan rasuah. Selain itu, faktor ingin hidup mewah seperti mereka bergaji kecil inginkan kereta mewah, motosikal berkuasa tinggi dan rumah besar juga menyumbang kepada perkara itu. 

Jadi, peluang semasa melakukan tugas itu diambil kesempatan untuk digunakan (ambil rasuah). Misalnya dia merupakan pegawai penguatkuasa di kawasan sempadan, dia berpeluang guna kuasa untuk mendapatkan rasuah atas perkara tertentu. 

Kita mesti ingat, setiap perkhidmatan yang kerajaan bagi kebanyakannya tidak melibatkan pembayaran wang. Kalau ke kaunter kerajaan misalnya, kita hanya perlu bayar satu jumlah yang minimum. Seperti RM1 untuk bil rawatan di hospital dan klinik kerajaan.

Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan orang-orang yang datang beri perkhidmatan tipu daripada sedia ada. Ikutlah prosedur dan panduan yang disediakan kerajaan. Masalahnya sekarang orang tidak mahu tunggu dan hanya mahukan perkhidmatan cepat. 

Rakyat sendiri perlu ubah sikap dan sedar bahawa rasuah ini salah dan agama sendiri tidak benarkan. Rasuah tidak boleh dicegah dengan hanya kebergantungan kepada SPRM, itu tidak boleh berlaku. Ia mesti melibatkan tindakan bersepadu daripada semua orang awam. 

Bagaimanapun, pendekatan untuk meningkatkan integriti oleh kerajaan negeri Kedah cukup baik. Sebab itu kerajaan negeri menubuhkan Jabatan Integriti dan Urus Tadbir yang bertindak untuk memerhatikan integriti kerajaan negeri kedah. 

Jabatan itu juga mempunyai jawatankuasa tersendiri serta seorang daripada ahlinya merupakan pegawai SPRM.

Apakah perancangan SPRM Kedah bagi tahun 2016?
 Kita masih lagi menggunakan pendekatan untuk meyakinkan rakyat kepada SRPM. Saya menggunakan dua cabang besar iaitu operasi dan pencegahan.

 Di cabang operasi, saya masih lagi percaya dengan mendapatkan maklumat daripada pegawai dan orang awam, dapat melakukan pencegahan jenayah.

 Saya yakin kaedah ini boleh memecahkan sindiket rasuah dengan melakukan beberapa tangkapan. Pada masa sama, saya juga akan beri tumpuan kepada isu-isu rakyat, hasil kerajaan dan di kawasan sempadan.

 Di sudut pencegahan pula, kita akan teruskan kempen merakyatkan SPRM untuk meningkatkan kerjasama pendidikan masyarakat.

 Saya mohon kepada rakyat untuk jangan takut bekerjasama dengan SPRM, tampil dan beri maklumat yang sahih kepada SPRM.

Saya beri jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dilindungi dibawah undang-undang Akta Pemberi Maklumat dan Akta Perlindungan Saksi. Dua akta ini akan melindungi pemberi maklumat dan saksi dalam kes-kes SPRM. 

Saya mohon sekali lagi kepada rakyat untuk bekerjasama dengan SPRM khususnya di Kedah. Kita bukan untuk menjatuhkan orang, tapi nak orang sedar bahawa rasuah ini satu kesalahan.
 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip