Derma, SRC International, rakyat hendak tahu apa sebenarnya‎


HARAPAN
 rakyat untuk mengetahui apa sebenarnya dalam kes RM2.6 billion dan SRC International yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat tinggi. Ia diakui oleh Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim‎ Mohamed.

Setelah hampir lima bulan menanti, kelmarin Abu Kassim memberi ruang kepada Editor Sinar Harian, LAILATUN KHALILAH NASIR, Penolong Editor Sinar Online, MOHD FAZLI ZAINUL‎ ABIDIN dan Wartawan SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI berserta jurufoto MIZAN MAT TAMIN untuk menemubual beliau. 

Sepatah katanya, Sinar Harian menjadi akhbar pertama yang beliau temui selepas krisis yang melanda‎ SPRM tercetus hampir lima bulan lalu.


Apa fokus SPRM dan hala tuju 2016?

Dari segi strategi SPRM, sekarang kita menyiapkan kerja-kerja yang tidak siap lagi, ini sudah masuk kepada penghujung tahun dan saya minta pegawai-pegawai mempercepatkan kes yang perlu disiapkan pada tahun ini tanpa mengabaikan kualiti dan merit ditetapkan. Kalau boleh, saya tidak mahu kes yang disiasat sekarang dibawa ke tahun hadapan. 

Itu keutamaan hujung tahun ini dan juga kita memberi hala tuju kepada pegawai untuk tahun hadapan. Tahun hadapan SPRM dan kebanyakan agensi lain mengalami pemotongan bajet yang agak besar, iaitu sebanyak RM42 juta, berbanding pada tahun ini kita dapat RM297 juta. Penurunan ini agak memberi kesan kita perlu bersiap sedia untuk berdepan cabaran akan datang.

 
Adakah pengurangan bajet memberi kesan kepada operasi SPRM?

Dari segi operasi, kita akan pastikan perjalanan tidak terjejas walau sedikit mana pun kita dapat bajet, kita tidak akan mengurangkan bajet untuk operasi kerana ini adalah tugas utama kami dan perkara yang amat penting dalam kerja-kerja SPRM.


Menyentuh isu sekitar lima bulan lalu, boleh Tan Sri jelaskan bagaimana ia terjadi hingga pelbagai spekulasi diperkatakan?

Perkara itu berlaku semasa saya tiada di pejabat, pada hujung Ramadan lalu saya tidak berapa sihat dan selepas berjumpa dengan pegawai perubatan, mereka menasihatkan saya melakukan pembedahan secepat mungkin walaupun pada masa itu saya sibuk menjalankan siasatan yang ada sekarang.

Apa yang berlaku ialah pada malam itu, saya dimaklumkan pegawai, Timbalan Pendakwaraya SPRM ditahan polis kerana dikatakan terlibat dalam kes berkaitan Seksyen 124 Kanun Keseksaan atau satu kesalahan di bawah kanun keseksaan. 

Itu bermulanya perkara ini berlaku dan ketika saya sedang dirawat di hospital, 7 Ogos lalu, pada masa itu dua pegawai saya ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Pada waktu itu, saya tiada di situ dan tidak dapat memberi reaksi bagaimana untuk mengendalikan krisis tersebut. Bagaimanapun Alhamdulillah pegawai-pegawai saya mengendalikan kes itu dengan baik. 

Seperti dinyatakan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, Tunku Aziz (Tunku Aziz Tunku Ibrahim), semasa memberi maklum balas, apa juga hujahan, penjelasan kepada tindakan yang diambil ke atas pegawai SPRM, perkara yang nyata ialah terdapat satu persepsi, sama ada benar atau tidak, itu perkara kedua tetapi satu persepsi seolah-olah ada satu tindakan untuk menjejaskan perjalanan siasatan.

Saya tidak mengiyakan perkara tersebut, tetapi ini apa dinyatakan Pengerusi Lembaga Penasihat semasa beliau mengulas perkara itu.

Tetapi bagi pegawai-pegawai SPRM, kita dapat mengembalikan perjalanan siasatan dan sejak hari itu perjalanan siasatan kita diteruskan sampailah ke hari ini dengan mendapatkan kerjasama dan mengenalpasti saksi-saksi terlibat, dan mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.


Sewaktu Tan Sri menjalani rawatan, banyak pihak menyokong SPRM hingga ada yang membuat solat hajat untuk SPRM. Ini memberi gambaran SPRM dihimpit tekanan.

Apa yang berlaku pada masa itu, kita hanya menjalankan tugas kita. Apa yang kami lakukan adalah kami melakukan apa yang betul untuk dilakukan. Kami menjalankan siasatan, memanggil saksi berkaitan dan mendapatkan dokumen berkaitan, itu sahaja yg kita jalankan.

Saya sudah lebih 30 tahun terlibat dalam perkara ini (siasatan), setiap kali kita siasat orang, pasti akan ada reaksi. Jadi sejauh mana kebijaksanaan kita mengendalikan reaksi-reaksi tersebut secara profesional dan memastikan bahawa mereka ini faham bahawa kita hanya menjalankan tugas.


Boleh terangkan bagaimana mereka terlibat dengan SRC International dan siasatan RM2.6 bilion? Adakah pertemuan dengan mereka membantu siasatan?

Saya mengulangi kenyataan dikeluarkan iaitu kita mengesahkan telah berjumpa dengan pihak berkaitan. 

Sepertimana kenyataan media sebelum ini dan kita akan menghabiskan siasatan, dengan mengambil dan mendapatkan lagi saksi serta bahan bukti diperlukan dari pihak yang berkaitan. Lebih pada itu tidak boleh diterangkan lagi kerana saya terikat dengan undang-undang yang ada tapi sekadar memaklumkan beberapa orang saksi  sudah diambil kenyataan, berapa keterangan dan masa yang kita perlukan dalam siasatan dan sebagainya, itu adalah perkara yang boleh kita buat hebahan kepada umum.

Tetapi maklumat lanjut siasatan kita tidak boleh siarkan kepada mana-mana pihak, bukan saya tidak mahu, 
undang-undang kata jangan.

Tetapi pihak yang ditemui yang dikatakan penderma itu memberi kerjasama baik dan kita telahpun mendapat kerjasama daripada mereka menjelaskan perkara yang kita perlu tahu. 

Saya tidak boleh bagi secara terperinci berhubung penderma itu, satu hari nanti kita akan serahkan kepada pihak Peguam Negara dan sekiranya pihak kerajaan ingin mendedahkan atau menjelaskan kepada rakyat, itu terpulang. Tetapi kerja kita cuba dapatkan keterangan berkaitan.


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip