Perlu sangatkah meminda Akta EAIC, hadkan skop SPRM?

PANAS. Amat panas. Syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatukuasan (EAIC) baru-baru ini ternyata "menghangatkan" suasana politik dan juga bidang perundangan negara.

Disifatkan sebagai "tidak kena" pada masa, dan "kurang bijak", cadangan pindaan Akta 700 oleh EAIC itu ternyata menggusarkan pengamal undang-undang negara.

Bahkan cadangan pindaan akta yang diluluskan pada tahun 2009 itu agar EAIC menjadi rujukan semua kes salah laku penguatkuasaan yang gagal menyempurnakan siasatannya menimbulkan pelbagai andaian yang negatif.

Apakah EAIC ingin mengambil alih tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM)?
Kenapa perlu diwujud undang-undang yang pasti bertindan sedangkan selama ini, krisis dan isu tatasusila dalam kalangan penguatkuasa telah ditangani sebaiknya.

Atau mewujudkan selapis lagi birokrasi dalam arena perundangan negara, ketika rakyat kini semakin tipis kepercayaannya terhadap kewibawaan pelaksana undang-undang.

Secara jujur, ada yang menyifatkan syor pindaan itu akan dilihat sebagai satu lagi "helah politik" Najib dalam mengawal segala bentuk perundangan di negara ini. Ia juga dibaca sebagai benteng pertahanan terakhir untuk survival politiknya dan memberi tekanan kepada lawannya.

Tidak cukup dengan itu, peluasan kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diperkasa semula fungsinya, termasuk menahan tanpa bicara sebagai langkah preventif seperti diumum baru-baru ini akan membenarkan teori ini.

Sehubungan itu, wajarlah Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tunku Abdul Aziz Ibrahim menzahirkan rasa skeptik dan bimbangnya terhadap perkembangan terbaru ini.

Sebagai badan bebas yang memantau perjalanan SPRM sejak tahun 2009, syor EAIC ini dilihat sebagai mewujudkan kaedah kawal selia yang ekstrem sedangkan tindakan tersebut sebenarnya tidak perlu.

" Yang penting dan diperlukan Malaysia ialah keberkesanan agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini untuk tidak membentuk lebih banyak entiti kerajaan, sebaliknya meningkatkan keupayaan dalaman mereka," katanya.

Malah Tunku Aziz beranggapan tindakan ini tidak perlu diteruskan kerana langkah pindaan Akta EAIC 2009 ini akan ummemansuhkan peruntukan yang mengecualikan SPRM daripada bertanggungjawab kepada EAIC.

" Lembaga ini berpandangan langkah meletakkan SPRM di bawah EAIC adalah sia-sia dan hanya akan menambah satu lagi lapisan birokrasi yang akan membawa kepada ketidakcekapan yang lebih buruk.
" Dan tidak harus wujud satu situasi di mana sesebuah agensi bersikap syak wasangka terhadap satu sama lain," tegasnya lagi.

Mengaitkan isu ini dengan politik memang tidak dapat dibendung, apatah lagi dengan kepelbagaian campur tangan pentadbiran negara terhadap tindakan sesetengah pegawai kanan penguatkuasa yang cuba bertindak telus.

Justeru jika tidak ingin iklim politik negara terus dilanda badai dan akhirnya mewujudkan krisis kepercayaan, padamkan segera cadangan.

Ini bukan masa yang sesuai.

Jika ingin diteruskan juga, tunggulah waktu yang sesuai. Mungkin lima, sepuluh atau 100 tahun lagi.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip