Rasuah di sektor pembalakan sangat tersusun – SPRM
KOTA BHARU, 20 Disember:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Kelantan mendapati, kegiatan rasuah melibatkan pihak
terbabit dengan pembalakan haram amat tersusun.
Keadaan itu lebih rumit, kerana ia berlaku di tengah-tengah hutan yang menyukarkan siasatan dijalankan.
Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Aban
menjelaskan, hasil siasatan yang dijalankan, pihaknya percaya pemberian
imbuhan dilakukan di kawasan pembalakan dalam hutan, membabitkan
pemegang lesen dengan pegawai jabatan terbabit.
Beliau berkata, antara sebab pemberian
imbuhan itu, termasuklah pemegang lesen sudah menebang secara haram
balak di luar kawasan dilesenkan.
“Sebenarnya, SPRM menerima
banyak maklumat mengenai kegiatan rasuah di kalangan pembalak dan
kakitangan Jabatan Perhutanan, tetapi mereka enggan tampil atau dedahkan
diri kerana pelbagai sebab.
“Setakat
yang saya tahu, rasuah di sektor pembalakan sangat tersusun dan secara
peribadi, saya percaya SPRM mempunyai keinginan tinggi untuk meneruskan
siasatan berkaitan kes pembalakan,” katanya ketika ditemui di pejabat
SPRM Kelantan, hari ini.
Abdul Aziz berkata, daripada
pengalaman dalam satu kes di Pahang, seorang tauke balak menawarkan
rasuah sebanyak RM30,000 kepada pegawai SPRM yang menyamar di tengah
hutan, bagi mengelakkan dikenakan tindakan.
Jelasnya, apa yang merugikan
siasatan ialah, mereka yang terbabit atau saksi tidak mahu tampil
memberi kerjasama, mungkin kerana mereka sendiri adalah pemegang lesen.
“Mengenai tangkapan berkaitan
rasuah, 13 daripada 35 yang ditahan tahun ini adalah kakitangan dan
pegawai Jabatan Perhutanan. Kedua paling ramai ialah anggota polis,
iaitu 11 orang.
“Untuk makluman semua, 35 orang
yang ditahan tahun ini adalah jumlah paling ramai, berbanding purata
hanya 11 orang pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, mengulas isu pemerdagangan
orang, Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya ada sindiket yang
melindungi dan mengatur kemasukan pendatang asing ke negara ini.
Menurutnya, jumlah paling ramai adalah
warganegara Myanmar, di mana amat pelik apabila mereka boleh masuk ke
Malaysia dengan mudah dan berada di mana-mana lokasi di dalam negara
ini.
“Ada kes yang disiasat
pendatang asing tanpa izin terbabit memberitahu, mereka membayar RM700
kepada sindiket yang akan menguruskan perjalanan pulang dari Kuala
Lumpur ke Rantau Panjang.
“Sebaik tiba, mereka akan dibawa menggunakan motosikal ke penjualan haram dan terus pulang ke kampung halaman.
“Yang menariknya, mereka
sendiri boleh memilih atau mengatur perjalanan pulang mereka sendiri. Di
sini kita melihat ada sesuatu yang tidak kena dan memerlukan
penyiasatan lanjut,” katanya.
Comments
Post a Comment