Rasuah: Bekas Ketua Pengarah Imigresen gagal rayuan
KUALA LUMPUR 16 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 terhadap bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md. Don atas kesalahan menerima rasuah RM60,000 bagi tujuan mempercepatkan kelulusan permohonan visa pekerja warga Bangladesh, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah memutuskan demikian setelah menolak rayuan Wahid, 62, yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 30 Oktober 2013.
Menurut beliau, mahkamah bersetuju keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan berjaya mengaitkan kes berkenaan dari awal kejadian sehingga ketika perayu menerima wang berkenaan.
“Ini menunjukkan pihak pembelaan gagal untuk menyangkal kes pihak pendakwaan,’’ ujar beliau.
Beliau berkata, fakta yang dikemukakan dalam keterangan oleh pihak pembelaan adalah tidak tepat.
Menurutnya, berdasarkan proses permohonan mendapatkan visa sepatutnya tiada sebarang bayaran dikenakan bagi mengesahkan permohonan visa-visa terlibat.
Walau bagaimanapun, Hakim Amelia membenarkan permohonan Wahid yang diwakili peguam Datuk V. Sithambaran untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu bagi membolehkan pihaknya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Namun beliau memerintahkan Wahid membayar denda RM300,000 selewat-lewatnya 4 Januari ini atau dipenjara 12 bulan jika gagal berbuat demikian manakala ikat jamin terhadapnya ditambah daripada RM50,000 dengan seorang penjamin kepada RM100,000 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendali Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi) Jabatan Peguam Negara, Datuk Abdul Razak Musa.
Pada 30 Oktober 2013, Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman tersebut setelah berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Dalam kes tersebut, pihak pendakwaan mengemukakan 40 saksi manakala pihak pembelaan hanya menampilkan Wahid sebagai saksi.
Berdasarkan pertuduhan, Wahid didakwa menerima wang berkenaan daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian sebagai upah mempercepat kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Persimpangan Jalan Duta di sini pada pukul 10.15 malam, 10 Julai 2008.
Wahid didakwa atas tuduhan berkenaan pada Ogos 2008 namun pada 15 Oktober 2010, Rosbiahanin melepas dan membebaskan Wahid tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dan pada 31 Mei 2012, mahkamah berkenaan menolak rayuan SPRM sebaliknya mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Rosbiahanin.
Walau bagaimanapun SPRM meneruskan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan pada 2 April 2013, mahkamah tersebut membenarkan rayuan berkenaan dan memerintahkan Wahid membela diri di Mahkamah Sesyen.
Comments
Post a Comment