PENDEKATAN TAMBAH BAIK INSENTIF, UNDANG-UNDANG YANG KETAT PENTING BAGI PERANGI RASUAH
PROF Dato' Dr. Engr Chin Yew Sin, ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) mahu insentif yang sepadan dan undang-undang rasuah yang ketat dilaksanakan secara seiringan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi isu rasuah dengan lebih efektif.
Kata beliau, insentif yang
dimaksudkan adalah kadar gaji yang munasabah, yang sesuai dengan kehendak dan
keperluan semasa.
"Kita tengok di negara jiran,
gaji anggota Kabinet dan anggota pentadbiran cukup baik. Kadar gaji mereka
adalah rekod dunia.
"Pada masa yang sama mereka
juga menguatkuasakan undang-undang dengan ketat dan tegas. Mereka tidak tolak
ansur. Jadi, kedua-dua komponen ini perlu berjalan secara serentak," kata
beliau pada sesi Dinner Talk Bersama Pegawai-Pegawai Kanan Sektor Pencegahan
SPRM di Skudai, Johor malam tadi.
PPPR adalah salah satu daripada
lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM sejak tahun 2009.
Dato' Chin berkata, pihak berkuasa
perlu memperlihatkan ketegasan kepada orang ramai tentang "bahaya dan
buruknya jenayah rasuah."
"Ini seperti api. Macam mana
takutnya orang ramai dengan api, kita juga perlu mewujudkan perasaan takut
mengenai rasuah. Takut untuk beri rasuah dan takut untuk menerima rasuah,"
kata beliau.
Sambil menyifatkan SPRM telah
banyak melakukan perubahan di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri
Abu Kassim Mohamed sejak 2010, Dato' Chin berkata, penambahbaikan dalam
undang-undang dan dasar perlu dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan usaha
mencegah rasuah.
"Di bawah program transformasi
yang diusahakan SPRM, saya nampak ada banyak perubahan. Seperti kemudahan VIR
(Bilik Temu Bual Bervideo). Ini penting untuk meningkatkan keyakinan orang
ramai ke atas SPRM," katanya lagi.
Salah satu pendekatan yang
disyorkan oleh beliau ialah mewujudkan jawatan pegawai pematuhan di setiap
organisasi.
"Ini penting untuk membuat
pemantauan tentang ruang dan peluang yang memungkinkan rasuah dan salah laku.
Saya syorkan perkara ini dengan mengambil kira pandangan Laporan Ketua Audit
Negara," kata beliau.
Selain itu, beliau juga
mengesyorkan sistem automasi dilaksanakan dengan menyeluruh bagi membolehkan
perkhidmatan agensi awam yang efektif dan cepat, sekali gus mengelakkan peluang
rasuah dalam jangka panjang.
"Perkara ini perlu difikirkan
dengan serius. Contoh kes adalah amalan baik adalah pengeluaran pasport oleh
Jabatan Imigresen. Sekarang kita boleh dapat pasport dalam setengah jam, satu
jam. Jadi sudah pasti orang ramai tidak akan beri rasuah untuk mendapatkan
pasport. Ini satu contoh yang baik," katanya.
Pada masa yang sama, beliau yang
mengakui masyarakat Cina sudah mula memahami fungsi dan perjalanan SPRM dengan
mendalam turut mengesyorkan usaha bagi meningkatkan usaha mendekati rakyat.
"Saya berpendapat bahawa SPRM
perlu pergi ke peringkat bawah, daerah, wilayah untuk berdialog dengan orang
ramai. Ini sangat penting. SPRM perlu menggunakan kelebihan rangkaian
pertubuhan Cina di seluruh negara," kata beliau.
Turut hadir pada majlis Dinner Talk
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Dato Sri Mustafar Ali dan
Pengarah-pengarah SPRM Negeri dan Bahagian sektor pencegahan.
PPPR, badan bebas yang memantau
perjalanan dari sudut pencegahan, diketuai oleh Tan Sri Johan Jaaffar.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
12 DISEMBER 2015
Comments
Post a Comment