AKADEMI PENCEGAHAN RASUAH ANTARABANGSA SEKALI LAGI PILIH SPRM KENDALI PROGRAM SARJANA PENCEGAHAN RASUAH
AKADEMI Pencegahan
Rasuah Antarabangsa (IACA) telah memilih Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) untuk mengendalikan program Sarjana Pengajian Pencegahan Rasuah (MACS)
buat kali kedua berturut-turut.
Di bawah keputusan
itu, penuntut MACS akan mengikuti Modul Penguatkuasaan di Akademi Pencegahan
Rasuah Malaysia (MACA) di Kuala Lumpur. Modul Penguatkuasaan, yang merupakan
salah satu daripada tujuh modul MACS, akan berlangsung pada Januari 2016.
SPRM dipilih bagi
menghoskan Modul Penguatkuasaan buat kali pertama pada Mei 2014. Malaysia,
satu-satunya negara di luar Austria dan negara pertama, dipilih untuk mengendalikan
modul keenam program MACS.
Ketua Pesuruhjaya
SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed menyifatkan pemilihan kali kedua ini sebagai
satu lagi pengiktirafan bagi MACA, SPRM dan Malaysia pada keseluruhannya.
"Pemilihan ini
memperlihatkan IACA terus meletakkan kepercayaan yang tinggi ke atas MACA, dan
berpuas hati dengan pengendalian kelas
Modul Penguatkuasaan di MACA pada tahun 2014," kata Tan Sri Abu
Kassim juga Naib Pengerusi Lembaga Pentadbir IACA.
Tan Sri Abu Kassim
berkata, pengendalian Modul Penguatkuasaan di Malaysia akan membolehkan
penuntut MACS mempelajari pengalaman dan kejayaan usaha pencegahan rasuah
secara praktikal melibatkan tenaga pengajar dari Malaysia dan negara-negara di
rantau ini.
"Pendekatan ini
telah digunakan ketika sesi Mei 2014 yang berlangsung di MACA. Ia disambut baik
oleh IACA dan penuntut kumpulan pertama MACS," kata beliau.
Fungsi dan sumbangan
MACA juga telah diiktiraf sebagai hab latihan dalam sektor pencegahan rasuah
oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah
(UNODC).
Semalam, SPRM dan
IACA telah menandatangani untuk melanjutkan Memorandum Persefahaman (MoU) di
Vienna, Austria. MoU ini dimeterai pada tahun 2012.
Dengan menandatangani
MoU, IACA sekali lagi telah bersetuju untuk meneruskan jalinan kerjasama SPRM
dan IACA bagi tempoh tiga akan datang.
MoU ditandatangani
bagi mengubal rangka kerjasama dalam penambahbaikan program MACS di mana
sebahagian daripada pengajian tersebut akan dikendalikan di MACA.
Tan Sri Abu Kassim
berada di Vienna bagi menghadiri Sesi Keempat Perhimpunan Anggota IACA [Fourth
Session of the Assembly of Parties to the International Anti-Corruption
Academy] yang berlangsung di Vienna dari 9 hingga 11 Disember 2015. Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan mewakili kerajaan
Malaysia, yang merupakan negara anggota IACA.
Datuk Paul yang
merupakan Naib Pengerusi Sesi Ketiga Perhimpunan Anggota IACA telah dilantik
sebagai Naib Pengerusi untuk tempoh tiga
tahun akan datang.
Dalam ucapannya
semasa perhimpunan tersebut, Datuk Paul Low telah mengulangi komitmen dan
kesungguhan Malaysia dalam membanteras rasuah dengan menggariskan pelbagai
pendekatan dan strategi.
Selain itu, beliau
turut menawarkan IACA dan negara-negara ahli IACA agar menggunakan kemudahan
MACA sebagai pusat latihan bagi melahirkan pegawai agensi penguat kuasa yang
berdaya saing.
"Ini kerana MACA
telah diiktiraf oleh UNODC sebagai penyedia latihan dan bantuan bertaraf
antarabangsa. Ia merupakan salah satu daripada 23 amalan baik dan kejayaan
usaha Malaysia dan SPRM membanteras rasuah diiktiraf oleh UNODC," kata
beliau.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
12 DISEMBER 2015
Comments
Post a Comment