Motif EAIC nak SPRM bawah dia?

Hangat awal bulan ini apabila Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md Sam mencadangkan SPRM wajar dimasukkan sebagai satu daripada agensi penguat kuasa yang dikawal selia oleh EAIC.

Ribut tiada, taufan tiada, tiba-tiba datangnya idea yang rasa tidak perlu untuk dicadangkan. Ya, EAIC berperanan menerima dan membuat siasatan ke atas aduan orang awam berkaitan salah laku pegawai penguatkuasaan dan agensi penguatkuasaan di bawah jadual Akta 700 namun bukankah SPRM juga sudah pun menpunyai akta mereka yang tersendiri iaitu Akta SPRM 2009?

Sebagai rakyat biasa, saya berpendapat akta yang diperuntukkan oleh SPRM sudah memadai kerana mereka lebih memahami selok belok hal mengenai rasuah. Lagi kan pula, SPRM adalah suruhanjaya bebas dalam menjalankan kerja pencegahan rasuah di Malaysia ini.

Nampak agak tidak logik apabila suruhanjaya bebas untuk berdiri di bawah agensi yang lain. Bagaimana mereka dapat bertindak secara bebas sekiranya mereka perlu melaporkan kegiatan mereka kepada agensi lain selain dari yang dipertanggungjawabkan?

Cadangan ini juga ditolak oleh panel-panel bebas yang memantau SPRM dalam menjalankan tugas mereka. Antaranya, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang, panel JKMR, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

Mereka telah membantah kerana ianya tidak wajar dan situasi sekarang yang terkawal. Ianya tidak perlu diwujudkan dan menambah kepada sistem yang sedia ada. Malah, apa yang perlu difikirkan adalah bagaimana untuk menambahbaik perkhidmatan dan mencegah rasuah dengan lebih jayanya.

Peranan lima badan bebas dalam memantau SPRM juga tidak boleh dinafikan keberkesanannya. Mereka merupakan orang yang terpilih dalam memantau perjalanan SPRM agar SPRM berada di landasan yang betul dan memberi cadangan untuk sesuatu perkara. Ianya merupakan perkara yang bagus kerana Malaysia satu-satunya mempunyai lima badan bebas dibandingkan dengan negara lain.

Kesimpulannya, biarlah SPRM menjalankan operasi dan strategi mereka secara sendiri dan bertindak secara bebas tanpa campur tangan orang lain. Agensi lain juga perlu menyokong SPRM dalam usaha mencegah rasuah. Berikan cadangan yang membina agar kita terus menuju negara yang bebas rasuah!

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip