Skip to main content

SPRM pantau penguat kuasa sempadan



KUALA LUMPUR 6 Nov. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memantau pegawai penguat kuasa yang dikatakan terlibat dengan sindiket penyeludupan minyak masak ke negara jiran sebagai satu usaha bersama dengan pihak kerajaan bagi membendung isu rasuah di sempadan negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pemantauan itu dibuat berikutan kegiatan tersebut semakin berleluasa sehingga kerajaan terpaksa memansuhkan subsidi minyak masak sekali gus memberikan kesan kepada rakyat.

Bagaimanapun ujarnya, agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab diharap lebih peka dengan isu berkenaan de­ngan mempergiatkan usaha bagi mendapatkan maklumat supaya sempadan negara tidak bocor dengan begitu mudah.

Jelasnya, sebelum ini juga, SPRM telah menunjukkan bukti begitu mudahnya sempadan negara dibolosi aktiviti penyeludupan dengan hanya membayar rasuah kepada beberapa agensi penguat kuasa yang bertugas di sempadan negara.

“SPRM hanya boleh mengambil tindakan terhadap salah laku pegawai penguat kuasa yang bersekongkol membenarkan perkara ini terus terjadi namun bagi memantau kegiatan penyeludupan pula adalah sesuatu yang sukar dilakukan kerana bukan dalam bidang kuasa SPRM.

“Selain itu, agensi penguatkuasaan perlu lebih agresif mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk memantau pihak yang diberi lesen kebenaran bagi pembungkusan minyak masak,” kata­nya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azam menegaskan, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini disaran menyalurkan maklumat kepada SPRM supaya aktiviti haram yang memudahkan pengaliran hasil negara ke negara jiran ini dapat dibanteras.

“Kami perlukan orang ramai berperanan sebagai mata dan te­linga SPRM dengan memberikan nama-nama pegawai dan kakitangan yang terbabit kerana SPRM tidak boleh bertindak dengan berkesan tanpa kerjasama orang ramai,” ujarnya.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, ketika bekalan minyak masak tidak mencukupi di dalam negara, minyak masak bersubsidi ini didapati berlambak dijual di pasar Sungai Golok, Thailand.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati hampir semua kedai runcit menjual minyak masak keluaran Malaysia, selain beberapa barangan kawalan lain seperti tepung gandum.

Situasi itu jelas menimbulkan persoalan memandangkan sejak minggu lalu bekalan minyak masak didapati berkurangan di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara sehingga menimbulkan keluhan ramai pengguna.

Dalam pada itu, tinjauan juga mendapati kawalan serta pemeriksaan khususnya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Rantau Panjang masih longgar dan dilakukan secara ala kadar, sekali gus memudahkan kende­raan keluar masuk.

https://www.utusan.com.my/berita/nasional/sprm-pantau-penguat-kuasa-sempadan-1.404567#sthash.V0F3Rp0h.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip