Kuasa, Pengaruh Bukan Halangan SPRM Banteras Rasuah, Salah Guna Kuasa - Dzulkifli

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Genap 100 hari menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad terus bertekad menggempur perasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira kedudukan serta pangkat.

Ketika menitipkan 'Warkah Terbuka Buat Rakyat Malaysia' sempena 100 hari perkhidmatannya di SPRM di sini, hari ini, Dzulkifli mengingatkan ahli politik, penjawat awam, penguat kuasa undang-undang dan badan kehakiman supaya menjauhi amalah rasuah dan salah guna kuasa atau berdepan tindakan SPRM.

Katanya kuasa atau pengaruh tidak sesekali menggetarkan anggotanya untuk menjalankan amanah dalam memerangi pelaku rasuah dan salah guna kuasa secara habis-habisan.

"Buat mereka yang masih mabuk dan lemas dalam suapan, dengarkan amaran ini...hentikanlah segala pengkhianatan yang berumbikan rasuah dan salah guna kuasa.

"Tunduk dan menyerahlah. Jangan terus mendabik dada kerana nanti anda mungkin rebah ditimpa bala," katanya.

Dzulkifli berkata walaupun getir dan menakutkan, anggota suruhanjaya itu akan terus mengekalkan iltizam memerangi kebejatan rasuah dan salah guna kuasa walaupun ada ketikanya nyawa menjadi taruhan.

Sehubungan itu, beliau mahu badan kehakiman menjadi benteng yang kukuh kepada rakyat dalam mencari keadilan dengan berani mengambil ketetapan dan menjatuhkan hukuman ke atas mereka yang melakukan kesalahan.

"Buat para hakim, adililah hukum dengan iman dan keberanian. Hukumlah mereka yang masih tegar dan hanyut melakukan rasuah dan salah guna kuasa tanpa rasa gentar, demi teladan mereka di luar sana," katanya.

Kepada ahli politik, beliau mengingatkan kumpulan pemimpin masyarakat itu supaya melaksanakan amanah dan memperjuang nasib rakyat yang mahukan pembelaan, bukannya 'membuai' rakyat dengan janji indah sedangkan pada masa sama rakus meragut habuan.

Dalam warkah itu, Dzulkifli juga memberi peringatan kepada penjawat awam dan penguat kuasa undang-undang termasuk anggota SPRM tentang amanah yang perlu dipikul tanpa menjadikan harta negara sebagai hak peribadi.

"Lewat ini semakin banyak anak-anak mata yang memerhati. Hati-hati saudaraku...hati-hati," katanya.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip