Pengetua didakwa salah guna kuasa



Shah Alam: Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menyalahgunakan kuasa berkaitan pembekalan bahan bantu mengajar, tuala, hamper dan set alat tulis untuk syarikat miliknya sendiri sejak Februari lalu.
Tertuduh, Norliza Mat Radzi, 48, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memilih syarikatnya iaitu Orean Collection untuk membekalkan bahan bantu mengajar berjumlah RM2,091 melalui pesanan sekolah pada 12, 17 dan 19 Februari 2016.
Bagi dua pertuduhan berikutnya, dia turut melakukan kesalahan sama membabitkan pembekalan tuala kecil untuk program Selamatkan Bumi Kita berjumlah RM500 dan pembekalan lima pakej hamper, set alat tulis serta medal bagi program perkhemahan berjumlah RM4,000 pada 30 Mac dan 13 April tahun sama.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,00, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Hazirah Azman manakala tertuduh diwakili peguam bela Nur Amalina Mohd.
Rozilah membenarkan kos jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Disember depan.



Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip