Bekas CEO GLC bergelar Datuk ditahan
KUALA LUMPUR 14 Nov. - Mengumpul kekayaan luar biasa sehingga wang simpanan mencecah RM39.3 juta.
Itulah kekayaan seorang pengarah bergelar Datuk sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) selepas dipercayai terlibat dengan kes penyalahgunaan kuasa dan menerima wang suapan ketika memegang jawatan sebagai bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) di sebuah GLC lain sejak 2010.
Suspek berusia 50 tahun itu dikesan memberikan projek bernilai hampir RM50 juta kepada syarikat berkepentingan dan kegiatan itu berlarutan selama lima tahun sehingga suspek meletakkan jawatan pada tahun lalu sebelum dilantik jawatan pengarah itu sehingga kini.
Menurut sumber, suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di Shah Alam, Selangor dekat sini hari ini.
Sementara itu, dua lagi suspek yang masing-masing adalah pengarah urusan dan pengurus jualan syarikat kontraktor yang mempunyai hubungan dengan keluarga dengan CEO terbabit turut diberkas.
Mereka ditahan pukul 7 dan 9 malam ini ketika memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Susulan penahanan itu, SPRM turut menyita beberapa akaun bank milik suspek dan ahli keluarga berjumlah RM39.3 juta.
“Wang tersebut dipercayai adalah hasil wang suapan yang diterima suspek selepas menganugerahkan projek tersebut kepada syarikat-syarikat berkepentingan.
“Suspek dipercayai akan ditahan reman esok bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang bekas CEO sebuah syarikat GLC di Kuala Lumpur dikenal pasti terlibat dalam kes penyelewengan projek bernilai RM50 juta dan kes rasuah.
Difahamkan, suspek telah menganugerahkan projek-projek kepada syarikat-syarikat kepentingan atau ‘kroni’ dan mengambil wang suapan sebagai balasan ketika memegang jawatan tersebut selama lima tahun.
Comments
Post a Comment