Skip to main content

Rasuah CEO GLC: Akaun RM500,000, 
dua lagi kereta mewah disita

KUALA LUMPUR 17 Nov. –Jumlah sitaan wang simpanan milik bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) dan dua lagi suspek yang ditahan tiga hari lalu meningkat kepada RM40.6 juta.

Jumlah tersebut selepas Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa lagi akaun bank berjumlah RM500,000 hari ini.

Menurut sumber, pihak SPRM turut merampas dua buah kereta iaitu Range Rover dan Toyota Vellfire, menjadikan rampasan ken­deraan mewah milik ketiga-tiga suspek setakat ini kepada 12 buah kereta.

“Beberapa orang saksi juga te­lah mula diambil keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut dan lebih ramai lagi saksi yang akan dirakam keterangan selepas ini.

“SPRM masih meneruskan siasatan dan mengesan aset-aset dan akaun bank ketiga-tiga suspek yang dipercayai dibeli daripada hasil suapan dan salah guna kuasa,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang pengarah ber­gelar Datuk sebuah syarikat GLC ditahan semalam di ru­mahnya di Shah Alam selepas di­kesan menganugerahkan projek bernilai RM50 juta kepada kroninya.

Lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan terbabit selama lima tahun ketika memegang jawatan sebagai CEO sebuah GLC sebelum dia dilantik menjadi pengarah sebuah GLC lain sehingga kini.

Hasil tangkapan itu, SPRM turut menahan dua suspek yang masing-masing adalah pe­ngarah urusan dan pengurus jualan syarikat kontraktor yang mempunyai hubungan keluarga dengan lelaki berkenaan.

SPRM juga menyita beberapa akaun bank milik suspek dan ahli keluar­ganya berjumlah RM39.3 juta sebelum nilai tersebut me­ningkat kepada RM40.1 juta selepas SPRM mengesan beberapa akaun bank berjumlah RM800,000 milik suspek, semalam.

Selain itu, SPRM turut me­rampas 10 kereta mewah dan lima utas jam tangan berjenama bernilai lebih RM3 juta milik ketiga-tiga suspek.

https://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rasuah-ceo-glc-akaun-rm500-000-8232-dua-lagi-kereta-mewah-disita-1.408949#sthash.q6lZi4un.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip