Skip to main content

Rasuah libatkan belia membimbangkan

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Gejala rasuah melibatkan belia di negara ini berada di tahap membimbangkan apabila statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan 54 peratus daripada 5,799 individu yang ditahan atas kesalahan itu sepanjang tempoh 2003 hingga 2013 merupakan golong­an belia.

DZULKIFLI AHMAD (empat dari kiri) bersama sebahagian pelajar yang
DZULKIFLI AHMAD (empat dari kiri) bersama sebahagian pelajar yang
Lebih mengejut­kan, sejak 2013 sehingga Oktober tahun ini pula, daripada 1,092 individu yang ditahan SPRM, sebanyak 1,045 daripadanya adalah terdiri daripada golongan belia berusia 40 tahun ke bawah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, realiti ini menunjukkan golong­an muda berdepan dengan kecelaruan integriti dan kontroversi sehingga sanggup terlibat dalam kancah rasuah sedangkan mereka sepatutnya bersama-sama SPRM dalam memerangi gejala tersebut.

Menurutnya, perkara itu secara tidak langsung mengundang persepsi buruk orang ramai yang sebenarnya masih memandang sinis terhadap kejujuran perjuangan anak muda dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa.

“Oleh itu, golong­an muda perlu menanamkan sifat jujur dan ikhlas agar dapat berdepan de­ngan cabaran serta perjuangan dalam memerangi rasuah selepas melangkah keluar daripada institusi pengajian tinggi (IPT) dan berkerjaya.

“Tidak kira jalan mana yang dipilih selepas ini sama ada sektor perniagaan, pendidikan atau bekerja dalam sistem kerajaan, golongan muda harus cekal dan berani dalam menolak godaan, sogokan serta salah guna kuasa kerana gejala itu adalah sangat hina dan menjijikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 150 pelajar IPT dalam Majlis Sejenak Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM bersama Majlis Per­wakilan Pelajar (MPP) dan Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) Universiti Awam 2016 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pe­suruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.
Tambah Dzulkifli, golongan muda terutama mahasiswa dan belia sepatutnya berdiri teguh bersama-sama SPRM memben­dung gejala rasuah daripada te-rus menghakis nilai-nilai murni yang akan merencatkan pembangunan dan kemakmuran negara.

“Saya juga menyeru mahasiswa supaya menyahut cabaran untuk menyertai SPRM selepas menamatkan pengajian kelak dan bersama-sama kita gempur dan perangi kemungkaran ra­suah dan salah guna kuasa di negara ini,’’ katanya.

Sementara itu, Azam ketika ditemui selepas majlis tersebut memberitahu, SPRM akan meneliti Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2 yang dikeluarkan baru-baru ini untuk mengesan sekiranya terdapat elemen rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

“Buat masa sekarang, ia masih di peringkat awal namun kita akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sekiranya ada isu-isu berbangkit daripada penelitian laporan audit tersebut seperti yang kita telah laksanakan menerusi laporan-laporan audit terdahulu,” ujarnya.

https://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rasuah-libatkan-belia-membimbangkan-1.411098#sthash.vpV8CbFA.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip