10 kereta, 5 jam tangan lebih RM3j dirampas
KUALA LUMPUR 16 Nov. - Sebanyak 10 buah kereta mewah dan lima utas jam tangan berjenama bernilai lebih RM3 juta milik tiga suspek termasuk bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bergelar Datuk dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini dan semalam.
Kesemua kenderaan dan jam tangan tersebut dirampas untuk siasatan kerana disyaki dibeli daripada hasil suapan dan salah guna kuasa.
Menurut sumber, 10 kereta mewah tersebut adalah dua buah Range Rover dan masing-masing sebuah Bentley, Daimler, Aston Martin, BMW 4 Series, Mini Cooper, Audi Q5 dan Audi Q3 yang bernilai antara RM150,000 hingga RM700,000 sebuah.
Katanya, jam tangan mewah yang dirampas pula adalah dua utas Frank Muller dan Bvlgari serta seutas Rolex yang kesemuanya bernilai RM230,000.
“Jumlah itu tidak termasuk nilai sitaan beberapa akaun bank berjumlah RM40.1 juta yang telah dibekukan sebelum ini. Difahamkan, beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik ketiga-tiga suspek yang nilainya masih belum diketahui juga bakal disita.
“Buat masa ini SPRM masih mengumpul bukti dan beberapa saksi juga sedang dikesan untuk diambil keterangan,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang pengarah bergelar Datuk sebuah syarikat GLC ditahan semalam di rumahnya di Shah Alam selepas dikesan menganugerahkan projek bernilai RM50 juta kepada kroninya.
Lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan terbabit selama lima tahun ketika memegang jawatan sebagai CEO sebuah GLC sebelum dia dilantik menjadi pengarah sebuah GLC lain sehingga kini.
Hasil tangkapan itu, SPRM turut menahan dua suspek yang masing-masing adalah pengarah urusan dan pengurus jualan syarikat kontraktor yang mempunyai hubungan keluarga dengan lelaki berkenaan.
SPRM juga menyita beberapa akaun bank milik suspek dan ahli keluarga berjumlah RM39.3 juta sebelum nilai tersebut meningkat kepada RM40.1 juta selepas SPRM mengesan beberapa akaun bank berjumlah RM800,000 milik suspek, semalam.
Comments
Post a Comment