KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM: SPRM TELITI AMALAN, SISTEM DAN PROSEDUR JANS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti isu kelemahan dalam amalan, sistem dan prosedur Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi tujuan penambahbaikan proses kerja khususnya berkaitan perolehan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur air di jabatan tersebut.

Satu pasukan khas yang diketuai Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM telah ditubuhkan untuk meneliti dan merangka perkara tersebut.

Usaha ini adalah bagi menutup ruang dan peluang daripada berlakunya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pelaksanaan projek-projek JANS dengan meneliti punca-punca kelemahan yang wujud dan memperakukan cadangan serta nasihat bagi mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mengatasinya.

Tindakan ini adalah selaras dengan fungsi SPRM di bawah Seksyen 7 (c), (d) dan (e) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Langkah ini diambil selepas bekas Pengarah dan Timbalan Pengarah JANS bersama-sama 23 jurutera dan juruteknik ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana projek di bawah JANS dalam beberapa siri operasi sejak Oktober lalu.

Selepas meneliti dan mengenal pasti penemuan serta kelemahan-kelemahan yang berlaku, pasukan ini akan merangka beberapa cadangan untuk penambahbaikan ke atas amalan, sistem dan prosedur kerja pegawai dan kakitangan JANS.

SPRM berharap agensi-agensi lain turut bekerjasama dengan SPRM bagi membendung perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di agensi masing-masing khususnya dalam perolehan kerja yang melibatkan dana awam.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA


21 NOVEMBER 2016

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip