KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM: OPS WATER MASUKI FASA AKHIR SIASATAN




Susulan Ops Water I & II yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat kes rasuah dan penyelewengan melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada 4 dan 20 Oktober lalu, SPRM kini telah memasuki fasa terakhir siasatan berkenaan.

Sehubungan itu, SPRM menjangka akan menyiapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat sebelum menghantarnya untuk keputusan oleh Jabatan Peguam Negara.

Sepanjang proses siasatan, SPRM telah menahan reman seramai 28 individu melibatkan seorang bekas Pengarah, dua bekas Timbalan Pengarah, 23 jurutera dan juruteknik serta dua orang awam yang mempunyai kaitan dengan kes terbabit. SPRM juga telah merakamkan percakapan seramai lebih 200 saksi bagi membantu siasatan.

Penyitaan dan rampasan-rampasan dokumen berkenaan melibatkan 30 lokasi di daerah-daerah di Sabah termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.

Di samping itu juga, SPRM telah mengambil tempoh sebulan untuk melakukan analisis terhadap 8,000 baucar pembayaran mulai dari tahun 2008 hingga 2016 yang diekstrak daripada fail-fail yang mengandungi puluhan ribu dokumen melibatkan dokumen tuntutan pembayaran keseluruhan jabatan-jabatan kerajaan Negeri Sabah. Dianggarkan keseluruhan berat fail-fail yang dianalisis dan disemak tersebut mencecah sehingga 12 tan.

Sepanjang tempoh operasi, SPRM telah merampas, menyita serta membekukan harta bernilai kira-kira RM114.5 juta terdiri daripada wang tunai, akaun bank, amanah saham serta aset-aset alih dan tidak alih dalam dan luar negara.

Proses siasatan tersebut dilakukan secara teliti dan mendalam bagi melihat pelbagai aspek perundangan dengan penglibatan seramai 137 pegawai SPRM dari Ibu Pejabat, bahagian serta negeri-negeri lain.

SPRM amat serius dalam penyiasatan isu rasuah khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat namun memerlukan masa yang mencukupi bagi memastikan semua bukti dapat dikumpul agar tidak wujud sebarang masalah ketika prosiding di mahkamah.


DATO' AZAM BAKI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

1 DISEMBER 2016

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip