Prasarana, SPRM kerjasama cegah rasuah

PUTRAJAYA: Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkasa integriti dan pencegahan rasuah dalam kalangan kakitangan serta kontraktor syarikat itu. 

Perjanjian itu adalah pembaharuan kepada MoU yang ditandatangani pada tahun 2014 antara kedua-dua pihak berikutan berlaku beberapa penambahbaikan dan perubahan di peringkat tertinggi pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu. 

MoU ditandatangani Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PRASARANA, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz. 

Majlis turut disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki dan Pengerusi Kumpulan PRASARANA, Tan Sri Ismail Adam. 

Di bawah MoU itu, PRASARANA dan SPRM akan bekerjasama berhubung perkongsian kepakaran dalam aspek operasi, pengesanan, khidmat rundingan, penyaluran maklumat, latihan dan usaha lain bagi memantapkan penguasaan nilai integriti dalam kumpulan berkenaan. 

Azam ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, SPRM sedia menawarkan khidmat ujian integriti jika PRASARANA mahu mengesan mana-mana kakitangannya yang tidak menjalankan tugas mengikut peraturan ditetapkan. 

"Sebagai contoh, mungkin ada kakitangan yang melengahkan kerja, kita boleh melakukan operasi penyamaran dengan kelengkapan video dan sebagainya. 

Mungkin PRASARANA tidak ada kepakaran seperti ini dan SPRM sedia membantu untuk melihat kepada isu integriti ini," katanya. 

Sementara itu, Ismail berkata, beliau mahu kakitangan dan rakan niaga syarikat itu memberi perhatian serius kepada isu rasuah dan integriti dan pihaknya akan membantu SPRM memberi maklumat dan memerangi rasuah melalui papan iklan di dalam bas Rapid, transit aliran ringan (LRT) dan monorel milik milik syarikat berkenaan.



Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip