Bangkit banteras barah rasuah
PENZAHIRAN rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja berhubung perlakuan penyelewengan, ketirisan dan rasuah di negara ini menunjukkan penyakit itu seolah-olah tidak ada ubatnya.
Mana tidaknya, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap individu yang terlibat rasuah, khususnya dalam kalangan penjawat awam, semestinya perlu dibimbangkan.
Nampaknya perkataan rasuah sudah terpahat bukan sahaja di hati kebanyakan rakyat Malaysia, malah isu ini makin menjadi bualan hangat masyarakat.
Tindakan SPRM yang seakan-akan tiada pengakhirannya membuatkan perasuah tidak senang duduk memikirkan nasib yang akan menimpa mereka.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sendiri menzahirkan dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah melibatkan penjawat awam dan bekas penjawat awam ketika bertitah di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Baginda mengalu-alukan tindakan sewajarnya diambil ke atas mereka yang terlibat kerana boleh membantutkan kemajuan negara.
Terbaru, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan penjawat awam supaya tidak terlibat dengan rasuah kerana jenayah itu bukan sahaja akan membawa padah kepada diri sendiri malah menghancurkan kebahagiaan keluarga.
Pada 12 Disember tahun lalu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah bahawa sejarah menunjukkan perbuatan pecah amanah dan rasuah, penggunaan kuasa secara rakus adalah faktor menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.
Sokongan terhadap SPRM meningkat kian hari ekoran pelbagai tindakan yang dilaksanakan SPRM sejak dipimpin Ketua Pesuruhjaya, Datuk Dzulkifli Ahmad mulai 1 Ogos 2016.
Pada 4 Januari lalu, dalam satu temu bual, beliau berjanji akan ada operasi atau pertuduhan oleh SPRM setiap minggu hingga hujung tahun ini walaupun ini dianggap mustahil oleh beberapa pihak.
Tiga bulan selepas janji itu dibuat, pegawai-pegawai SPRM jelas makin aktif menjalankan tugas yang diamanahkan dengan ramai lagi penerima rasuah dibawa ke muka pengadilan.
Jika rasuah tidak dibanteras, ia akan mengancam pertumbuhan ekonomi, kehilangan pelabur asing dan meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga hingga mengakibatkan ketidakstabilan politik. Yang terseksa akhirnya adalah rakyat jelata.
Tindakan agresif SPRM juga menyaksikan pemegang jawatan-jawatan penting di agensi-agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan juga masuk jaring SPRM akibat perbuatan tidak berintegriti mereka.
Dzulkifli, sebagai seorang yang tidak menonjolkan diri telah membuktikan beliau seorang pemimpin yang akan menjalankan tugas tanpa 'memilih bulu'.
Apabila dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, ramai pihak mempertikaikan kewibawaan beliau dalam menjunjung dan melaksanakan tanggungjawab yang penuh dengan cabaran itu.
Bagimanapun, dalam jangka masa yang begitu singkat, Dzulkifli berjaya mengetepikan segala persepsi yang dilontarkan terhadap beliau dengan membuktikan kebolehan dan kepakaran menerusi tindakan berterusan oleh SPRM.
Pada awal tahun ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Abd Rahman pula ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.
Pada 4 Oktober tahun lalu, SPRM telah mencatat sejarah, membongkar penyelewengan, ketirisan dan rasuah di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melalui Ops Water dengan menangkap lebih 20 individu dari jabatan tersebut dan merampas wang tunai serta harta hampir RM150 juta yang mendapat perhatian agensi berita di dalam dan luar negara.
Pada 30 Ogos pula, Pengerusi Bank Rakyat, Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdul Aziz Zainal ditahan SPRM berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kira-kira RM15 juta.
Dalam kes terbaru, seorang ‘Tan Sri’ telah ditahan SPRM kerana dipercayai cuba rasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, untuk mendapat darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.
Tindakan itu sekali gus menolak tanggapan kononnya ‘jerung besar’ dilindungi dan bebas daripada tindakan undang-undang.
Apa yang dapat dilihat ialah SPRM telah memperluaskan usahanya dalam membanteras rasuah dengan membawa penerima rasuah ke dalam ‘radar’ siasatan suruhanjaya itu sehingga orang ramai sering tertanya-tanya ‘Siapakah yang akan masuk jaring SPRM seterusnya?'
Justeru, amaran Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja amat tepat pada masanya.
Apabila mereka yang diberikan kepercayaan gagal melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan sehingga menyusahkan rakyat, ia akan menghakis kepercayaan terhadap kerajaan.
Mungkin sebelum ini banyak pihak yang leka dan terjerumus ke kancah rasuah beranggapan perbuatan itu tidak diketahui atau diperhatikan tetapi kini sudah tiba masanya untuk mereka menghitung hari sebelum didatangi pegawai SPRM.
Kita tidak boleh lagi menganggap barah rasuah sebagai lumrah hidup seperti sebelum ini maka sudah tiba masanya masyarakat turut bangun dan berperang bersama SPRM untuk membanteras 'penyakit' ini di semua peringkat.
Apapun, tindakan SPRM perlu diambil sebagai iktibar oleh semua pihak termasuk masyarakat sendiri supaya menjauhkan diri daripada terjerumus ke dalam kancah jenayah rasuah untuk pembangunan masyarakat dan kemajuan negara.
Sokongan dan harapan tinggi masyarakat, SPRM diyakini akan terus meningkatkan usaha membanteras rasuah dan heret lebih banyak 'jerung' ke muka pengadilan demi pembangunan dan kemajuan negara. Insha-ALLAH.
http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/bangkit-banteras-barah-rasuah-1.656575
Comments
Post a Comment