PEMBANTU PERAWATAN KESIHATAN DISIASAT SPRM DIDAKWA PALSU SALINAN KAD PENGENALAN



Seorang Pembantu Perawatan Kesihatan yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan memalsukan salinan kad pengenalan bagi tujuan permohonan perkhidmatan internet.
Tertuduh, Nor Azuanis Mohamed Zawi, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibacakan dihadapan Hakim Azura Alwi.
Dia didakwa memalsukan salinan kad pengenalan Malaysia melibatkan 19 penama bagi tujuan permohonan mendapatkan perkhidmatan internet daripada Telekom Malaysia Berhad.
Nor Azuanis didakwa melakukan kesalahan tersebut antara Jun hingga Julai 2015 di Kuala Lumpur.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Hakim Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan 17 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.
Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
11 APRIL 2017



Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip