13 orang kenamaan diburu
KUALA LUMPUR 31 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memburu 13 orang kenamaan bagi membantu siasatan kes cubaan menyogok Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah kebesaran.
Menurut sumber, kesemua mereka yang sudah dikenal pasti itu melibatkan golongan kenamaan, berkedudukan dan kaya.
“Kita percaya Tan Sri yang kini ditahan reman berperanan sebagai ejen atau orang tengah kepada individu terbabit bagi mendapatkan gelaran Tan Sri dengan menawarkan RM2 juta kepada Sultan Ibrahim.
“Berikutan itu, mereka yang berkaitan diminta tampil untuk memberi keterangan kepada pihak SPRM bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkenaan.
Majistret Nik Isfahanie Tasnin Wan Ab. Rahman memerintahkan lelaki berumur 54 tahun itu direman sehingga 4 April ini selepas membenarkan permohonan SPRM bagi membolehkannya disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Lelaki itu yang juga pengasas dan penasihat sebuah syarikat perkapalan di Johor Bahru tiba di mahkamah tersebut kira-kira pukul 9.30 pagi dan dilihat memakai baju berwarna oren tertera perkataan Lokap SPRM.
Semalam, ahli perniagaan itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira pukul 2 petang susulan amaran yang dikeluarkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki supaya dia segera menyerahkan diri.
Sultan Johor baru-baru ini mendedahkan baginda menerima tawaran sebanyak RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong.
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/13-orang-kenamaan-diburu-1.464386#ixzz4d8mjNod8
Comments
Post a Comment