Enam pegawai imigresen Sarawak mengaku tidak bersalah terima rasuah
KUCHING - Enam pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak (JIMS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang suapan pada tahun lalu.
Kesemua tertuduh, Gracy Bohan, 35, Norhaliza Hussein, 33, Benjamin Morsit, 33, Khairul Nizam Omar, 41, Agnes James Daim, 42 dan Emily Ngayan Beliang, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh didakwa menerima wang suapan antara RM100 hingga RM1,000 bagi melindungi pendatang asing tanpa izin yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit perkerjaan sah di negeri ini.
Nixon Kennedy kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM5,000 hingga RM8,000 dengan seorang penjamin yang menetap di Kuching dengan slip gaji tidak kurang daripada RM1,000.
Mahkamah turut menetapkan 28 April depan bagi sebutan semula kes. - K! ONLINE
http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_07.htm#ixzz4dpFsRKJk
Comments
Post a Comment