SPRM akan keluar waran
KUALA LUMPUR 12 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas pemain kebangsaan Khairul Anuar Baharum sekiranya gagal menyerah diri untuk membantu siasatan kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, sekiranya Khairul yang lebih dikenali dengan nama jolokan Ah Chong gagal berbuat demikian, pihaknya akan menggunakan pelbagai cara untuk menjejakinya.
“Kami beri tempoh kepada Ah Chong, jika dia tidak menyerah diri maka kami akan keluarkan waran tangkap,” katanya di sini hari ini.
Semalam, SPRM dalam satu kenyataan mendedahkan pihaknya sedang mengesan bekas pemain kebangsaan itu untuk menjadi saksi berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana melibatkan melibatkan pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).
Tambah kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pemain itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penguasa Mohd. Fadzli Alias di talian 03-8886 7000 atau 018-2744 533.
Bekas pemain kebangsaan itu memulakan adalah antara pemain yang paling banyak bertukar pasukan dan pernah beraksi bersama Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia dan Selangor, dan terkenal dengan sikap panas baran dan terjahan kerasnya selain mulut pedas.
Selepas bersara sebagai pemain, Khairul beralih menjadi jurulatih dengan Kelab Bola Sepak Jaringan Melayu Malaysia (JMM FC) yang bersaing dalam pertandingan Piala FAM.
Presiden dan Pengurus JMM FC, Hamdan Mohd. Salleh bagaimanapun menjelaskan Khairul sudah lama tidak bersama mereka.
“Ah Chong sudah lama tidak bersama JMM FC. Kami juga tidak tahu di mana dia sekarang,” katanya ketika dihubungi.
http://www.utusan.com.my/sukan/sprm-akan-keluar-waran-1.468726#ixzz4e5VKnvfc
Comments
Post a Comment