Rela bertindak sebagai mata, telinga - SPRM



KUALA LUMPUR 11 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru 581 pegawai dan kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) hari ini menjadi mata serta telinga pihaknya dalam mengekang gejala rasuah mahupun salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, jabatan terbabit perlu bersama-sama memerangi gejala rasuah dalam setiap lapisan peringkat.

Ujarnya, penglibatan agensi itu dalam menandatangani IBR secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja SPRM untuk terus berjuang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab memerangi jenayah rasuah serta salah guna kuasa secara habis-habisan.

“Inisiatif Rela itu sekaligus memperlihatkan kesungguhan jabatannya dalam memastikan pentadbiran dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dzulkifli, menerusi IBR, Rela juga dapat memantapkan tadbir urus organisasinya yang merupakan sebuah agensi kerajaan yang bebas daripada sebarang anasir rasuah selain memastikan integriti pegawai serta kakitangannya sentiasa terpelihara dan berada di tahap tertinggi.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani IBR yang didahului Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin dan disaksikan Dzulkifli, serta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim. - UTUSAN ONLINE



http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rela-bertindak-sebagai-mata-telinga-sprm-1.468390#ixzz4dzM5pvng 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip