Kami perhatikan anda, amaran SPRM kepada pemain bola sepak

IPOH: Beberapa pemain bola sepak tanah air berada dalam radar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.
“Saya akui ada nama tertentu dan sekiranya kami dapat keterangan, kami akan ambil tindakan. Ini amaran kepada kamu semua lebih baik berhenti. Terdapat sesetengah orang mungkin SPRM tidak boleh kesan, tetapi sekali kita tahu, kita akan menyiasat dan implikasinya selepas itu ialah kamu boleh dilarang seumur hidup. Ia tidak berbaloi kepada pemain atau persatuan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Bersama SPRM oleh Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), semalam.
Pada majlis itu seramai 380 orang pemain bola sepak dan pegawai di bawah Pafa berikrar untuk bebas daripada rasuah.
Azam berkata berdasarkan risikan, satu sebab gejala rasuah berlaku dalam arena bola sepak adalah kerana mendapat desakan daripada “bookie”.
“Bookie ini akan cuba mendekati dengan pelbagai cara. Oleh sebab itu pemain harus menjauhkan diri dari aktiviti yang tidak berkaitan,” katanya sambil meminta pegawai atau pemain yang didekati oleh bookie supaya melaporkan kepada SPRM.
Dalam pada itu, beliau memuji ketulusan Pafa membuat ikrar dan memberikan kerjasama dengan membenarkan persatuan dipantau oleh SPRM sekali gus meningkatkan kecemerlangan dan integriti pemain serta pasukan.
Sementara itu, Presiden Pafa, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata perkara
itu dilakukan bukan untuk menakutkan mana-mana pihak sebaliknya menyatakan pendirian bahawa Pafa bebas daripada amalan rasuah.
“Kita mahu pastikan kita ini bersih daripada amalan-amalan itu supaya pemain dan pegawai dapat menunjukkan integriti tinggi sebab penonton mengharapkan permainan yang bersih.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini bila terdapat isu integriti menyebabkan penyokong tak berminat nak datang ke stadium, jadi itu yang kita nak hapuskan,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip