SPRM akan siasat rasuah libat pemberian E-kad
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan siasatan sekiranya terdapat aduan rasuah atau salah guna kuasa dalam pemberian Enforcement Card (E-Kad) melibatkan pendatang tanpa izin (Pati).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, sekiranya ada laporan dikemukakan, perkara tersebut akan diteliti terlebih dahulu sebelum siasatan lanjut dibuat.
“Sekiranya ada laporan kita akan siasat sama ada wujud unsur rasuah atau salah guna kuasa,” katanya ketika ditanya media berhubung penglibatan SPRM dalam siasatan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap tindakan beberapa cawangan Jabatan Imigresen mengeluarkan E-Kad kepada Pati tanpa mematuhi prosedur Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati (Program Rehiring).
Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-6 Pegawai Integriti Bertauliah (CeLO) di Pusat Strategik Pendidikan dan Latihan Berterusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM Crescent), di sini, Dzulkifli berkata program tersebut diwujudkan bagi memastikan nilai integriti dalam organisasi dibudaya, diperkukuh dan dipertahankan.
Menurutnya, CeLO yang merupakan inisiatif SPRM menangani isu dan permasalahan rasuah dan salah guna kuasa bertujuan merancakkan integriti dalam organisasi secara lebih tersusun dan terancang.
“Pemerkasaan integriti individu dan organisasi antara pendekatan yang boleh dilaksana untuk memastikan amalan rasuah dicegah dalam mengukuh tadbir urus serta sistem penyampaian sesebuah organisasi,” tegasnya.
Beliau berkata, antara tugas yang diamanahkan kepada seorang pegawai integriti bertauliah dalam organisasi termasuk memastikan pematuhan terhadap semua undang-undang, peraturan dan prosedur ditetapkan selain menyemat budaya ‘zero tolerance’ terhadap salah guna kuasa dan rasuah serta penyelewengan.
Selain itu, katanya CeLO juga diamanah memberi khidmat nasihat dan rundingan kepada pihak pengurusan mereka ditugaskan.
Seramai 175 CeLO yang memenuhi syarat ditetapkan menerima sijil masing-masing yang disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Sri Zainal Rahim Seman.
Seramai 656 peserta telah ditauliahkan melalui 17 siri Program CeLO yang bermula sejak 2010 termasuk program CeLO swatsa yang baru diperkenalkan.
http://www.sinarharian.com.my/semasa/sprm-akan-siasat-rasuah-libat-pemberian-e-kad-1.658034
Comments
Post a Comment