KERAJAAN NEGERI TERENGGANU TANDATANGANI IBR BERSAMA SPRM



Kerajaan Negeri Terengganu  hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) atau Corruption Free Pledge yang dipelopori oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan dengan ikhlas, telus serta bersih serta daripada sebarang anasir rasuah dan salah guna kuasa.

Pada majlis tersebut, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mendahului upacara menandatangani IBR yang disertai sembilan Exco.

Majlis yang berlangsung di bilik gerakan negeri, Wisma Darul Iman itu disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Inisiatif ini sekali gus memperlihatkan kesungguhan Kerajaan negeri Terengganu bagi memastikan pentadbirannya dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas.

Dengan menandatangani IBR, kerajaan negeri memperlihatkan kepimpinan melalui teladan selain menunjukkan sokongan yang padu kepada inisiatif-inisiatif yang dilakukan oleh SPRM.

SPRM berharap inisiatif ini dapat menyekat perbuatan atau penglibatan dalam rasuah dan salah guna kuasa di peringkat tertinggi pentadbiran negeri lagi.

IBR merupakan satu usaha yang diperkenalkan oleh SPRM yang mana ia menekankan kepada ikrar serta janji dalam kapasiti sebagai individu oleh mereka yang terlibat bagi menjunjung tanggungjawab untuk menghindari diri daripada terlibat dengan sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.

Ini adalah kerana rakyat sering memerhati, menguji dan menilai perjalanan pentadbiran institusi perkhidmatan awam.

Oleh yang demikian, setiap jentera pentadbiran kerajaan perlu mencerminkan wajah institusi yang bersih dan bebas daripada sebarang anasir rasuah.

SPRM juga berharap negeri-negeri lain akan turut mengambil inisiatif untuk menandatangani IBR bagi menunjukkan komitmen pihak pentadbiran dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
KUALA TERENGGANU

5 APRIL 2017


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip