Skip to main content

Bersihkan bola sepak daripada rasuah



TERNYATA kancah bola sepak tempatan tidak pernah lekang mahupun sunyi daripada isu rasuah sama ada membabitkan pemain termasuk pemain import, pegawai pasukan mahupun sindiket bookie. Pada era 1990-an dunia bola sepak tanah air pernah digegarkan dengan skandal rasu­ah yang cukup parah sehingga ramai pemain yang terkenal pada ketika itu menerima padah kerana didapati bersalah dan dikenakan pelbagai tindak­an tatatertib termasuk digantung seumur hidup oleh Persatu­an Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jelas sejak itu isu rasuah dalam sukan bola sepak terus menarik perhatian khalayak kerana dari semasa ke semasa ada saja tangkapan yang dibuat membabitkan pemain dari pelbagai peringkat kejohanan.

Terkini, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pemain tempatan berusia 26 dan 27 tahun bersama seorang pemain import berumur 29 tahun yang beraksi untuk kelab MISC-MIFA kerana dipercayai mengambil rasuah daripada bookie. Siasat­an awal menunjukkan ketiga-ketiga pemain ini disyaki menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM30,000 daripada bookie untuk menentukan keputusan perlawanan.

Malah dalam kes ini juga dilaporkan pihak berkuasa turut menahan reman seorang bookie bagi membantu siasat­an berhubung rasuah menentukan keputusan perlawanan bola sepak membabitkan kelab Liga Perdana terbabit.

Lebih merisaukan lagi apabila SPRM tidak menolak kemungkinan terdapat sejumlah pemain dari beberapa pasukan bola sepak di negara ini turut mengambil rasuah daripada bookie sebagai habuan untuk menentukan keputusan perlawanan. Penulis yakin kumpulan pemain ini hanya me­nunggu masa untuk ditahan oleh pihak berkuasa. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke ta­nah juga.

Apa yang pasti tangkapan terbaru ini membuktikan rasu­ah masih ada dalam bola sepak tempatan. Cuma tidak pasti tahap dan darjah keseriusan masalah tersebut dan sejauh mana sedang menular dalam kalangan pemain. Walaupun kita tidak berniat untuk menu­duh semua pemain bola sepak terlibat dengan rasuah tetapi kita khuatir kudis kecil dan virus ini boleh merebak dan merosakkan mahupun melumpuhkan keseluruhan ekosistem bola sepak negara jika dibiarkan terus berleluasa.

Bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini, walaupun prestasi pasukan kebangsaan masih belum meya­kinkan namun peminat tetap menyokong penuh dan berdiri teguh kerana masih sayangkan bola sepak negara. Jadi imej dan nama baik sukan popular ini perlu terus dipelihara dan dipertahankan. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebela­nga. Kita tidak mahu anasir-anasir ini merosakkan dan menghancurkan bola sepak negara.

Ternyata isu rasuah bakal menjadi satu lagi cabaran terbesar kepada kepe­mimpinan baharu FAM di bawah Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Jelas Tunku Ismail bukan saja menggalas tanggungjawab dan harapan besar peminat tempatan untuk mengeluarkan pasukan bola sepak kebangsaan dari zaman suram tetapi turut perlu berhadapan de­ngan amanah untuk mengekang masalah rasuah daripada terus menghancurkan bola sepak negara. Hal ini penting kerana tiada gunanya melakukan pelbagai transformasi untuk meningkatkan mutu dan prestasi pasukan kebangsaan andai pada masa sama rasuah terus berleluasa dan mengganggu pemain.

Justeru dalam konteks ini, kita menyokong penuh keputusan terkini pengurusan FAM untuk menggantung seumur hidup pemain dan pegawai da­ripada sebarang aktiviti sukan bola sepak sekiranya didapati terbabit mengatur keputusan perlawanan. Di samping itu, FAM turut membuat keputusan untuk memberi akses penuh kepada SPRM menjalankan siasatan ke atas semua persatuan bola sepak negeri, kelab serta FAM sendiri sebagai badan induk bola sepak negara.

Kepada semua pemain bola sepak di negara ini, janganlah sesekali terlibat dalam kancah rasuah yang boleh menghancurkan dan menamatkan karier bola sepak masing-masing di sam­ping perlu menanggung keaiban berpanjangan. Bakat yang anda miliki itu adalah satu anugerah tuhan yang sangat bernilai dan tidak wajar digadai semudah itu hanya kerana tamak dan gelap mata. Carilah rezeki yang halal dengan menggunakan bakat yang dikurniakan itu secara bijak dan berhemah.

Kepada semua bookie yang berkeliaran di negara ini, sudah-sudahlah dengan segala helah yang telah anda lakukan selama ini untuk merosakkan sukan bola sepak. Jangan ganggu pemain dan pegawai bola sepak. Ini adalah masa yang sangat pen­ting yang mana seluruh peminat bola sepak tanah air menanti de­ngan penuh debar untuk melihat transformasi yang bakal dibawa oleh Tunku Ismail dan pasukannya dalam melakar kembali zaman kegemilangan pasukan Harimau Malaya.

Kita harap sebagai langkah pembetulan dan pencegahan yang berterusan, Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Integriti FAM dapat duduk semeja dengan SPRM seterusnya merangka pelan jangka panjang bagi membanteras gejala rasu­ah ini dari peringkat akar umbi lagi agar tidak terus mencemarkan bola sepak tempatan. Mi­salnya, elok jika sekarang SPRM menilai dan memulakan siasat­an ke atas semua pemain yang terlibat dalam kejohanan utama seperti Liga Super, Liga Perdana dan juga Liga FAM sebagai amaran kepada semua pihak.

Malah pemain dan pegawai pasukan juga wajar diminta mengisytiharkan harta masing-masing secara berkala supaya lebih telus dan mudah dipantau pihak berkuasa. Rasuah adalah musuh negara. Menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membendung gejala ini daripada terus mencemar sukan bola sepak tempatan. Diharap FAM boleh melancarkan kempen jihad memerangi rasuah dalam sukan bola sepak tanah air.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia.

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/bersihkan-bola-sepak-daripada-rasuah-1.467760#ixzz4dvPUtzgM

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip